ABDULLAH – Serah Kuasa Bila Parti Kukuh

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menegaskan, peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, akan dilakukan apabila parti berada dalam keadaan baik supaya proses itu berjalan lancar.

Tanpa menyatakan tempoh peralihan kuasa itu, Perdana Menteri juga mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan Disember depan.

“Sudah tentu saya mahu peralihan itu berjalan licin. Itu penting supaya parti yang nak diserah itu berada dalam keadaan baik. Saya tak mahu tinggal parti dalam keadaan kelam kabut kepada pengganti saya, Datuk Seri Najib… (saya kata) good luck itu masalah anda, bukan saya.

“Itu tentulah bukan caranya,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Perjumpaan tertutup kira-kira sejam itu turut dihadiri Najib, ketua serta pemimpin parti komponen BN.

Abdullah berkata, sudah tentu ada proses peralihan kuasa tetapi ia bukan berlaku secara tiba-tiba.
“Takkan kita nak… tiba-tiba mana Pak Lah? Dia dah berhenti dah. Itu bukanlah caranya. Dulu pun ketika Tun Dr Mahathir Mohamad nak serah (jawatan) kepada saya begitu juga… semua elok, susun elok. Itulah yang dimaksudkan peralihan kuasa berjalan dengan baik,” katanya.

Mengenai laporan ada pihak meminta peralihan itu dilakukan secepat mungkin, Abdullah yang juga Presiden Umno berkata, pelbagai pandangan diberikan dengan ada yang mahu proses itu disegerakan dan ada juga mengatakan supaya tidak begitu cepat.

“Saya dengar je, akhir-akhirnya saya dengarlah apa yang orang cakap. Saya ada dua telinga, saya bukan pekak. Dalam amalan demokrasi semua orang nak bercakap… apa boleh buat. Kalau kita tutup mulut, dia kata ini tutup mulut, takut, tidak bebas. Mana boleh…nak cakap, cakaplah,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau melihat pandangan mengenai peralihan kuasa itu disuarakan sesetengah pihak dan bukan peringkat akar umbi.

Abdullah berkata, dalam perjumpaan dengan pemimpin BN sebelum ini tidak ada yang menuntutnya melepaskan segera jawatan dalam parti dan kerajaan.

“Mereka kata ini serah kepada saya, mereka kata dengan jelas akan memberi sokongan kepada saya. Dalam pertandingan pada pemilihan parti nanti akan beri sokongan kepada saya dan Najib, (masing-masing) sebagai Presiden dan Timbalan Presiden. Selepas itu Pak Lah dan Najib akan fikir hal berkaitan peralihan kuasa,” katanya.

Mengenai kenyataan Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa parti akan hanyut sekiranya perubahan pucuk pimpinan tidak dilakukan segera, Abdullah berkata sesiapa pun boleh bercakap apa yang mereka suka.

Bagaimanapun, katanya, beliaulah yang akan membuat keputusan selepas berbincang dengan Najib.

Menjawab soalan sama ada beliau akan mempertahankan jawatan Presiden pada pemilihan parti Disember ini, Abdullah berkata: “Mengapa saya tak boleh bertanding? Mengapa saya tak harus bertanding?”

Ditanya adakah ini bermakna beliau akan menyerahkan kepimpinan tahun depan atau pada 2010, Perdana Menteri berkata: “Maaf, saya tidak boleh mendedahkannya kepada anda.”

Mengenai Umno bahagian yang mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), antaranya bagi membincangkan kuota pencalonan bagi pemilihan Disember ini, beliau berkata: “Kalau nak buat mesyuarat, buatlah ikut peraturan.”

Mengulas hasil pertemuannya dengan Ahli Parlimen dan Adun BN, Abdullah berkata beliau mendapat sokongan kuat daripada semua wakil rakyat BN dan menerima tepukan gemuruh sambil berdiri daripada mereka pada majlis berkenaan.

Mengenai usul undi tidak percaya yang dikatakan akan dibuat terhadapnya pada sidang Parlimen nanti, Abdullah berkata: “Itu dakwaan pembangkang. Saya yakin bahawa semua Ahli Dewan Rakyat BN patuh dan setia kepada BN.”

Berhubung tiga jawatan Timbalan Menteri yang masih kosong, Perdana Menteri berkata beliau akan mempersembahkan senarai nama untuk mengisi kekosongan itu kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, minggu ini.

Tiga jawatan Timbalan Menteri itu ialah di Kementerian Luar, Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
………………………………………………………..
MataHatiJohor~ : Sehari dua yang lalu, selepas perjumpaan tertutup dengan UMNO Johor dan diperkuatkan lagi oleh wawancara berterus terang bersama TSM, langit mula nampak akan cerah. Ahli UMNO mula melihat cahaya yang bakal menyelesaikan sebahagian besar kemelut parti yang banyak berjasa kepada Bangsa Melayu itu.

Hari ini cahaya itu hilang semula. Awan mendung kembali lagi menyelubungi UMNO. Belum cukup rupanya semua yang berlaku ini bagi seorang pemimpin untuk berfikir bahawa masanya telah tiba untuk berhenti memimpin.

Sekali ini UMNO harus mengikuti langkah MCA ketika parti itu bergolak sedikit masa dahulu. Presidennya DS Ling Liong Sik berkata : “Ikan busuk bermula dari ‘Kepala’nya”. Kalau mahu ikan tahan lama segeralah buang kepalanya. Dalam konteks UMNO Kepalanya perlu ditukar dengan kepala yang baru sebelum UMNO terus membusuk.

Tentang ikan busuk ini, teringat pesanan Lukman Hakim kepada anaknya : “Sekiranya kamu tidak dapat menjadi GARAM yang dapat membuat ikan menjadi tahan lama, JANGAN lah pula kamu menjadi LANGAU yang mempercepatkan ikan menjadi BUSUK”. Banyak pengajarannya bagi orang yang sayangkan bangsanya…

Saya teringat mesej sebuah filem yang diarahkan oleh Syed Azidi Aziz (J Udeng) semasa di USM dulu di mana saya sendiri memegang watak sebagai Aziz ,Peguam kepada Perdana Menteri yang akhirnya digulingkan. Kata-kata Perdana Menteri yang telah lemah itu kepada Lawyer Aziz masih saya ingat lagi sehingga kini :

“Selama ini saya begitu ghairah memimpin. Saya terus menerus lakukan apa yang saya fikir saya perlu lakukan. Saya dikelilingi oleh orang yang sering memuji kepimpinan saya… Sehingga saya terlupa… bila sepatutnya saya berhenti memimpin”.

Apakah akan terjadi kepada Bangsa Melayu sekiranya Pak Lah sekali lagi gagal memulihkan UMNO. Apakah kita semua harus memperjudikan nasib masa depan Bangsa Melayu kepada seorang pemimpin yang telah gagal ini.

“Ya Allah selamatkanlah bangsa ku. Kau berilah sebenar-benar ilham kepada Pemimpin No 1 kami bilakah tarikh paling sesuai untuk beliau menyerahkan kepimpinan Bangsa Melayu kepada Pemimpin yang baru kerana kami sudah meragui no ‘Keramat 13‘ yang menjadi kepercayaannya selama ini”. Semoga doa kami Kau kabulkan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: