NGO tubuh kongres Melayu

Oleh Khairunnisa Kamarudin

Gabungan lebih 100 pertubuhan bincang isu kedaulatan bangsa

KUALA LUMPUR: Lebih 100 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu bergabung dengan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) membentuk Kongres Permuafakatan Melayu sebagai usaha memartabatkan hak Melayu yang semakin terhakis.

Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof Emeritus Dr Ismail Hussein, berkata kongres itu akan membincangkan hak serta peranan kedaulatan Melayu dalam proses pembinaan bangsa yang harus dikekalkan.

“Kongres itu akan diadakan pada 2 dan 3 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (Persada) membentangkan pelbagai isu berhubung masalah yang melanda bangsa Melayu dewasa ini dan hasil pembentangan akan dibahaskan untuk merumuskan resolusi doktrin bagi memperjuangkan kedaulatan Melayu.

“Apa yang menarik, kongres ini tidak membabitkan parti politik sama ada pada peringkat penganjuran dan penyertaan kerana kami mahu membincangkan masalah bangsa Melayu bukan dari sudut politik,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, kongres itu tidak membabitkan parti politik kerana ingin bertindak sebagai kumpulan yang boleh memperjuangkan hak dan aspirasi bangsa Melayu secara jitu.

“Apa yang saya lihat, parti politik sekarang walaupun berteraskan keMelayuan namun terpaksa menjaga kepentingan semua bangsa. Oleh itu, kami menyeru kepada semua orang Melayu untuk sama-sama berjuang mendaulatkan bangsa.

“Pelbagai ancaman dan cabaran berlaku di sekeliling kita yang sedikit demi sedikit menghakis budaya Melayu memandangkan kita banyak menggunakan bahasa asing dalam kehidupan seharian,” katanya.

Sementara itu, penyandang kerusi Tun Abdul Ghafar Baba Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Datuk Zainal Kling, berkata apa yang menjadi masalah adalah sikap orang Melayu yang tidak sedar mengenai hak dan kedaulatan bangsa yang semakin terhakis.

“Saya lihat ramai orang Melayu leka dengan keistimewaan yang diperoleh dan tidak sedar bahawa mereka akan kehilangan semua itu sekiranya tidak berusaha memperjuangkannya.

“Saya harap kongres ini dapat menyedarkan orang Melayu mengenai hak mereka dan dapat menghasilkan satu penyelesaian bagaimana mahu mempertahankan kedaulatan Melayu di negara ini,” katanya.

Katanya, hasil perbincangan itu akan dikemukakan kepada Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail untuk dibincangkan pada Majlis Raja-raja.
………………………………………………………………

>~MataHatiJohor~ : Tahniah. Satu lagi usaha untuk menyatukan Orang Melayu yang akan dilakukan tanpa pengaruh mana-mana parti-parti politik. Dalam keadaan politik Melayu yang bercelaru inilah pendekatan yang terbaik yang wajar dilakukan. Sebelum ini pun telah ada usaha ke arah itu tetapi kerana taksubkan parti lebih dari Sayangkan Bangsa maka ada sahaja halangan yang timbul di tengah jalan.

Sama-samalah kita berdoa semoga Kongres Permuafakatan Melayu ini akan berjaya mencapai matlamatnya. Kepada peserta yang bakal menghadiri kongres tersebut diharapkan mereka akan meninggalkan semangat & ketaksuban kepada Parti Politik masing-masing bukan sahaja di luar dewan malah sebaik-baiknya tinggalkan dirumah sahaja dahulu. Selagi perbincangan dikuasai oleh semangat ketaksuban kepada parti maka saya percaya kongres ini tidak akan mencapai kata sepakat.

Sebab itu nabi melarang umatnya bersifat taksub yang sesuai maknanya dengan assobiah yang mana jika mati, nabi tidak akan mengaku kita sebagai umatnya. Bagi saya assobiah atau taksub ini hanya akan membuat kita menjadi bodoh dan dungu kerana kita akan membina tembok halangan kepada minda kita untuk berfikir di luar kotak assobiah itu tadi. Assobiah akan menjadikan segala ilmu yang kita pelajari tidak bermakna kerana semangat ini selalunya akan membuatkan kita hilang pertimbangan rasional terhadap sesuatu perkara, baik mahupun buruk bukan ditentukan oleh nilai sejagat tetapi ditentukan oleh nilai yang diguna pakai oleh parti kita.

Justeru dalam keadaan rakyat Malaysia dari kaum bukan Melayu telah bersatu semasa PRU12 yang lalu, inilah masanya untuk menunjukkan kepada mereka bahawa Bangsa Melayu juga mampu untuk bersatu apabila kedaulatannya tercabar apatah lagi jika tercalar. Kedaulatan Melayu telah tercalar. Bangsa Melayu tidak mampu untuk berpecah belah lagi. Kita akan terhina dan menjadi pengemis di tanahair sendiri jika kita terus-terusan begini.

Benarlah seperti yang terungkap dalam lagu WARISAN yang suatu ketika dulu sering kita dendangkan :

ANAK KECIL MAIN API
TERBAKAR HATINYA YANG SEPI
AIRMATA DARAH BERCAMPUR KERINGAT
BUMI DIPIJAK MILIK ORANG

NENEK MOYANG KAYA RAYA
TERGADAI SELURUH HARTA BENDA
AKIBAT SENGKETA SESAMALAH KITA
CINTA LENYAP DI ARUS ZAMAN

INDAHNYA BUMI KITA INI
WARISAN BERKURUN LAMANYA
HASIL MENGALIR KE TANGAN YANG LAIN
PRIBUMI MERINTIH SENDIRI

MASA DEPAN SUNGGUH KELAM
KAN LENYAP PERISTIWA SEMALAM
TERTUTUPLAH HATI TERKUNCI MATI
MARUAH PRIBADI DAH HILANG

KINI KITA CUMA TINGGAL KUASA
YANG AKAN MENENTUKAN BANGSA
BERSATULAH HATI BERSAMA BERBAKTI
PULIH KEMBALI HARGA DIRI

KITA SUDAH TIADA MASA
MAJULAH DENGAN GAGAH PERKASA
JANGANLAH TERLALAI TERUSKAN USAHA
MELAYUKAN GAGAH DI NUSANTARA….. 3X
…………………………………………………………………………..

Pas tak minat bincang dengan UMNO – Husam Musa

KUALA LUMPUR 18 April – Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa hari ini membayangkan parti itu tidak berminat untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO mengenai ketuanan Melayu.

Beliau berkata, isu ketuanan Melayu tidak perlu diperbesarkan memandangkan masih banyak negeri dipimpin orang Melayu.

“Ketuanan Melayu ini tiada masalah. Yang jadi Menteri Besar Kedah, Perak, Selangor ialah orang Melayu. Perdana Menteri pun Melayu. Tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai ketuanan Melayu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan pemimpin-pemimpin muda UMNO supaya Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan perbincangan dengan UMNO untuk membincangkan masa depan ketuanan Melayu.

Husam berkata, beliau tidak yakin PKR, Pas dan UMNO dapat mencapai kata sepakat dalam hal tersebut.

Sekiranya UMNO benar-benar serius hendak mencari kesepakatan, adakah parti itu bersedia memberi Pas mengendalikan perbincangan tersebut, ujarnya.

“Kami tidak menentang perpaduan Melayu tetapi kami tidak akan terperangkap sekali lagi,” katanya.

Husam yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Salor, Kelantan turut menasihati wakil rakyat Pas supaya menghargai sokongan rakyat sehingga membolehkan mereka menang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Beliau berkata, wakil rakyat harus memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat bagi memastikan sokongan terus rakyat kepada parti itu.

– Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: