MELAYU MOHON MAAF ????


~MataHatiJohor~ : Akhirnya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO memohon maaf kerana menghunus dan mencium keris Panca Warisan pada perhimpunan Pemuda UMNO sebelum ini. Oleh kerana permohonan maaf ini dilakukan selepas mesyuarat Pemuda Barisan Nasional, maka jelaslah kepada kita bahawa tentunya terdapat tekanan kepada beliau supaya memohon maaf secara terbuka oleh pemuda parti-parti komponen BN.

Namun beliau menafikan wujudnya tekanan agar beliau memohon maaf secara terbuka. Beginilah lemahnya politik Melayu sehingga walaupun ditekan oleh kaum lain masih cuba menafikan dan tidak berani berterus terang. Padahal, kaum lain pada ketika ini mengambil kesempatan untuk bersikap biadap dan celupar atas nama berterus terang.

Dan seperti biasa, tindakan ini akan mendapat pujian dan sokongan oleh Pemimpin-Pemimpin Melayu khususnya para ‘Pemuda Harapan Bangsa’ yang dipimpin oleh Datuk Hisham. Sementara itu, lapor Bernama , timbalan presiden parti Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata permohonan maaf Hishammuddin “tidak akan menjejaskan maruah orang Melayu kerana keris merupakan simbol semata-mata”.

Inikah pandangan Bakal Pemimpin No 1 UMNO?… Tidak akan menjejaskan maruah orang Melayu…. kerana keris merupakan simbol semata-mata….. Mungkin apabila Datuk Najib mengambilalih jawatan Perdana Menteri, Pertabalan Sultan dan Yang DiPertuan Agung tidak akan terdapat lagi upacara Mencium Keris…

Persoalan timbul difikiran saya, “Pada siapakah lagi harus saya menaruh harapan untuk memperjuangkan ‘Ketuanan Melayu’ sebagai pribumi asal negara ini”? PKR & PAS… tentunya tidak, kerana telah jelas sanggup menggadaikan hak & maruah bangsa semata-mata untuk mengejar kuasa.

Wahai Bangsa ku, Jangan terburu-buru. Jangan cepat melatah. Jangan mudah mengalah. Berfikiran jauh. Apakah kaum lain tidak pernah bertindak melukakan perasaan bangsa kita. Jangan cepat lupa.

Adakah dengan permohonan maaf akan mengembalikan sokongan kaum lain terhadap BN. Siapa yang mengapi-apikan isu menghunus & mencium keris kalau bukan Pemuda BN dari kaum bukan Melayu. Mengapa mereka tidak menerangkan kepada kaum mereka bahawa ‘keris’ adalah satu dari simbol bangsa Melayu dan menghunus keris di majlis perasmian bukan bermakna mengancam kaum-kaum lain.

Seperkara lagi, di manakah peranan Raja-Raja Melayu dalam permasalahan ini??? Apakah mereka boleh duduk berdiam diri. Apakan mereka lupa bahawa pada tahun 1946, rakyat menerusi UMNO telah berjaya mengembalikan institusi Raja Melayu yang mana Raja-raja sendiri telah menandatangani surat menyerahkan kuasa mereka kepada penjajah British. Di mana anak-anak Raja yang bakal memerintah suatu hari nanti? Apakah dengan kedudukan politik Melayu seperti hari ini boleh menjamin mereka dapat menaiki tahta sama seperti ayahanda mereka sekarang.

Saya percaya, hanya dengan campurtangan Istana boleh menyatukan semula bangsa Melayu. Adakah menyatukan Bangsa Melayu boleh juga diistilahkan sebagai campurtangan dalam politik?…
……………………………………………………………………………………
YANG BERANI

Syed Ali: Hisham jatuhkan maruah Melayu

Ketua bahagian Cheras menyifatkan tindakan ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta maaf dalam isu keris sebagai menjatuhkan maruah orang Melayu.

Datuk Syed Ali Al-Habshee berkata, keris adalah lambang orang Melayu dan hak orang Melayu yang perlu dipelihara.

“Hishammuddin mengapa perlu meminta maaf? Ini hak orang Melayu, apa kena minta maaf. Di mana maruah orang Melayu.

“Keris ada dalam bendera Umno. Dalam pertabalan Yang di-Pertuan Agong pun mencium keris. Ini simbol orang Melayu,” katanya ketika berucap merasmikan perhimpunan agung khas Umno bahagian Cheras di ibu negara hari ini.

Seramai 222 perwakilan menghadiri perhimpunan tersebut.

Dalam ucapannya selama kira-kira 40 minit, Syed Ali berkata, pemimpin tidak boleh takut dengan ahli-ahli di peringkat akar umbi.

Kerana mahu jawatan, mereka sanggup menjadi “pak sanggup” sehingga orang bawah dianggap sebagai sampah.

Tukang angguk

“Kita kena berani, sebagai pemimpin parti kena berani. Kita tidak mahu Majlis Tertinggi (MT) Umno sekadar menjadi tukang angguk dan geleng sahaja tetapi sebaliknya bertanggungjawab terhadap bangsa.

“(Ahli) MT dalam media selalu buat kenyataan ‘saya sokong presiden parti, tiada masalah’,” katanya.

Syed Ali juga berkata, ahli tidak mahu pemimpin seperti ini kerana ia hanya mementingkan diri sendiri.

Dalam ucapannya juga, Syed Ali mengkritik keputusan kerajaan membayar pampasan kepada bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abas yang dipecat semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad 20 tahun lalu.

“(Perdana) menteri minta maaf kepada Salleh, menteri apa ni? Tribunal yang pecat dia.

“Bawa kes ini ke mahkamah, kita cabar di mahkamah. Tak perlu beri duit rakyat kepada dia dan hakim-hakim lain yang dipecat.

“Ini semua kerana layan (tuntutan) Majlis Peguam, yang layan itu pasal apa,” katanya lagi.

YANG PENGECUT

Permohonan maaf tidak jatuhkan maruah Melayu

PEKAN 26 April – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memohon maaf secara terbuka berhubung isu keris Panca Warisan, tidak akan menjatuhkan maruah orang Melayu.

Sambil memuji langkah yang diambil oleh Hishammuddin itu, Timbalan Presiden UMNO menegaskan, maruah orang Melayu hanya akan jatuh jika kaum itu tercicir dalam pelbagai bidang.

”Maruah orang Melayu akan dilihat lebih tinggi jika mereka berjaya menguasai pelbagai bidang terutama ekonomi, politik dan sosial.

”Dalam dunia hari ini, kejayaan sesuatu bangsa dilihat melalui penguasaan dalam bidang-bidang tersebut, sedangkan keris hanya simbol bagi orang Melayu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Air Asas Kesucian sempena program Masjid Gemilang Pahang di Masjid At-Taqwa, Peramu Jaya di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Hishammuddin yang secara terbuka memohon maaf kepada rakyat negara ini sama ada Melayu atau bukan Melayu jika isu keris Panca Warisan menyinggung perasaan mereka.

Hishammuddin berkata, beliau bertanggungjawab jika tindakan menghunus keris Panca Warisan sewaktu Persidangan Perwakilan Tahunan pergerakan itu pada 2005 menjadi antara faktor yang menjejaskan prestasi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.

Keris Panca Warisan yang juga keris pusaka Pergerakan Pemuda UMNO pertama kali diarak masuk oleh 12 hulubalang pada Persidangan Perwakilan Tahunan pergerakan itu pada 2005 bagi membangkitkan semangat ahli sayap parti itu.

Isu berkenaan kemudiannya dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang sebelum ini, Lim Kit Siang di Parlimen dan turut digunakan oleh pembangkang dalam kempen pilihan raya umum baru-baru ini.

Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, permohonan maaf yang dilakukan oleh Hishammuddin sangat mulia dan ikhlas serta dilakukan bukan dalam konteks perkauman.

Beliau menegaskan, rakyat terutama bukan Melayu seharusnya memahami bahawa keris kini hanya lambang kebudayaan kepada orang Melayu dan ia tidak lebih daripada itu.

”Beliau (Hishammuddin) memohon maaf kerana ada pihak yang membangkitkan isu keris tersebut dari sudut perkauman,” katanya.

Sehubungan itu, Najib meminta semua pihak tidak lagi membangkitkan isu keris tersebut selepas permohonan maaf dilakukan oleh Hishammuddin.
………………………………………………………

LAGI PENGECUT

Hishammuddin berjiwa besar

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
MACHANG 26 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menunjukkan sikap berani dan wajar dicontohi apabila sanggup memohon maaf berhubung isu menghunus keris Panca Warisan sewaktu Persidangan Perwakilan Tahunan pada tahun 2005 demi memulihkan semula imej parti.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhkriz Mahathir berkata, beliau menyokong penuh permohonan maaf itu dan ia menunjukkan sikap keterbukaannya sebagai pemimpin berjiwa besar.

Katanya, perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Pemuda UMNO dan menganggapnya sebagai punca kekalahan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, ini kerana isu itu telah diputar belitkan oleh pembangkang sehingga menimbulkan perasaan tidak berpuas hati di kalangan orang bukan Melayu termasuk parti komponen lain.

“Atas sebab itulah beliau membuat keputusan untuk memohon maaf dan kami menyokong tindakan beliau, saya menganggap beliau mempunyai hati besar dan berani mengakui tindakan itu sebagai satu kesilapan.

“Saya percaya, beliau tidak berniat menyinggung perasaan mana-mana pihak. Pada masa sama, semangat perjuangan yang lahir dari hati kita kadang-kala tidak perlu dizahirkan secara tersurat (menghunus keris)… sebaliknya kita laksanakan melalui semangat dari dalam diri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu kehormat dan ahli panel forum anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Machang yang bertemakan Barisan Nasional (BN) Hilang Sokongan Pengundi Muda: Di Mana Silapnya di Sekolah Kebangsaan Machang 2 di sini hari ini.

Semalam Hishammuddin secara terbuka memohon maaf kepada rakyat negara ini sama ada Melayu atau bukan Melayu jika isu keris Panca Warisan telah menyinggung perasaan mereka.

Hishammuddin berkata, beliau bertanggungjawab jika tindakan menghunus keris Panca Warisan sewaktu Persidangan Perwakilan Tahunan pergerakan itu pada 2005 merupakan faktor yang menjejaskan prestasi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum, 8 Mac lalu.

Terdahulu dalam ucapannya, Mukhriz berkata, UMNO kehilangan sokongan dari golongan muda pada pilihan raya umum kali ini kerana kesemua sayap Pemuda, Puteri serta Putera gagal menyediakan program berkesan serta tidak sensitif dalam menangani isu orang muda.

“Kita lebih kepada program seperti terjun di Antartika serta merenangi Selat Melaka, ini tidak memberi faedah terhadap usaha menangani masalah orang muda seperti pengangguran dan bebanan membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Pemuda UMNO sewajarnya menggunakan jaringan yang baik dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mendapatkan maklum balas daripada mereka tentang masalah yang dihdapi oleh golongan muda,” katanya.
………………………………………………………………..
Tidak tertekan untuk mohon maaf

SI PENGECUT

BATU PAHAT 26 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau tidak berada dalam keadaan tertekan ketika membuat permohonan maaf secara terbuka mengenai isu keris Panca Warisan yang dikatakan antara faktor menjejaskan prestasi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.

Menurutnya, beliau sedar memang masih ada pihak yang tidak menyenanginya apabila dia menghunus keris tersebut pada Persidangan Perwakilan Tahunan pergerakan itu pada tahun 2005.

Katanya, terserah kepada perwakilan UMNO untuk membuat penilaian permohonan maafnya secara terbuka kepada orang Melayu dan bukan Melayu dalam isu keris berkenaan.

Beliau yakin, tindakannya itu akan difahami barisan Exco Pemuda UMNO dan ia bersesuaian dengan apa yang dilaung-laungkan selama ini iaitu mendahulukan kepentingan parti daripada diri sendiri.

“Saya lakukan ini untuk parti dan bukan diri sendiri kerana dengan cara ini sahaja kita boleh melihat ke hadapan untuk membina parti. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Seminar Keibubapaan dan Pencegahan Dadah anjuran Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) di Dewan Semarak Felda Kahang Timur di Kluang hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin mengalu-alukan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain yang mahu menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden pada pemilihan parti Disember ini.

Bagaimanapun, menurutnya, mereka yang berhasrat menawarkan diri haruslah mempunyai visi tersendiri termasuk usaha untuk menguatkan parti.

Selain itu, calon tersebut juga harus melakukannya secara berdisiplin dengan tidak memburuk-burukkan calon lain, menjejaskan kedudukan parti dan menganiaya pihak lain, katanya.

“Calon juga harus menjauhkan diri daripada amalan rasuah,” katanya ke tika ditanya mengenai kemungkinan terdapat beberapa calon baru akan menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan akan datang.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Jamek Felda Ulu Dengar dan meluangkan masa kira-kira 20 minit pada majlis persandingan bekas tunang pemain bola sepak Kedah, Hasmawi Hassan, Norlida Abdul Rahman, 27, yang terletak tidak jauh dari situ.

Sebelum ini, Hishammuddin telah menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan Naib Presiden parti selepas mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang disandangnya sejak sedekad lalu.

Ditanya mengenai kemungkinan berlakunya ‘pecah undi’ kerana dijangka ramai pemimpin dari Johor turut menawarkan diri merebut tiga jawatan naib presiden, beliau berkata: “Itu terserah. Tak tahu saya, ia terpulanglah pada perwakilan.”
……………………………………………………
Muhyiddin sifatkan hak, budi bicara Ketua Pemuda UMNO

TAK BERANI (laporan Media Terkongkong)

MUAR 26 April – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan permohonan maaf secara terbuka oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai isu keris Panca Warisan adalah hak dan budi bicara Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu sendiri.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, terserah kepada Hishammuddin untuk berbuat demikian sekiranya beliau berpendapat tindakan memohon maaf itu mampu meredakan kemarahan satu kelompok masyarakat.

Bagaimanapun, beliau percaya niat Hishammuddin menghunus keris Panca Warisan itu adalah sebahagian daripada adat Melayu dan untuk menunjukkan usahanya selaku Ketua Pemuda UMNO mahu berjuang untuk rakyat dan negara.

“Terserah kepada beliau (Hishammuddin), sama ada beliau berpendapat dengan meminta maaf itu boleh menyelesaikan masalah setelah tindakannya itu menyebabkan kemarahan satu kelompok masyarakat.

“Dari segi asasnya, saya faham tindakan (menghunus keris) yang dilakukan Hishammuddin itu bukannya bertujuan mencabar atau menakutkan kaum bukan Melayu kerana itu sebahagian daripada adat Melayu,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi tebing runtuh di pekan Panchor, dekat sini hari ini.

Muhyiddin mengulas tindakan Hishammuddin hari ini yang secara terbuka memohon maaf kepada rakyat sama ada Melayu atau bukan Melayu jika isu keris Panca Warisan telah menyinggung perasaan mereka.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu semalam, beliau sendiri akan bertanggungjawab jika tindakan menghunus keris Panca Warisan sewaktu Persidangan Perwakilan Tahunan UMNO pada 2005 merupakan faktor yang menjejaskan prestasi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.

Muhyiddin percaya isu itu telah diputarbelitkan oleh pihak tertentu semasa berkempen dalam pilihan raya lalu sehingga menimbulkan kemarahan sesetengah pihak.

“Sesetengah pihak pula berpendapat, kenapa perlu meminta maaf, penjelasan sahaja sudah cukup, yang sudah berlaku itu sudahlah… tetapi apa pun, terserahlah kepada Hishammuddin sendiri,” ujarnya.

Menjawab satu soalan, Muhyiddin berkata, beliau tidak mendengar sebarang ura-ura bahawa Ahli Parlimen di kalangan parti pembangkang akan membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sidang Parlimen yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Setahu saya, belum ada mana-mana Ahli Parlimen yang ingin membawa usul sedemikian dan saya dengar pembangkang juga tidak berhajat hendak bawa usul, sama ada itu ada dalam peraturan atau tidak, saya tidak pasti tetapi setakat hari ini, tidak ada.

“Pembangkang bagaimanapun, ada atau tidak ada usul, mereka boleh kata macam-macam kepada kerajaan dalam ucapan kerana itu tugas mereka iaitu membangkang dan ini tidak menjadi masalah,” katanya.
………………………………………………………………

MUHYIDDIN BERANI (Laporan MalaysiaKini)

Muhyiddin: Tidak perlu maaf isu keris
Apr 26, 08 11:08pm
Tidak perlu memohon maaf isu menjulang dan mencium keris oleh ketua Pemuda Umno, yang dianggap kontroversi dan salah satu punca kekalahan teruk BN, kata naib presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Niat Datuk Seri Hishammuddin (Hussein) amat baik iaitu untuk berjuang demi bangsa dan negara dan saya faham ia bukan mahu menakut-nakutkan orang bukan Melayu.

“Tetapi pembangkang memutar-belitkan kenyataan itu untuk tujuan tertentu,” katanya di Pagoh, Johor hari ini, mengulas permohonan maaf ketua Pemuda Umno, yang juga ketua Pemuda BN, kepada masyarakat bukan Melayu selepas mesyuarat pergerakan itu semalam.

“Pada saya, tak perlu bagi Datuk Hishammuddin meminta maaf.”

Sementara itu, lapor Bernama lagi, timbalan presiden parti Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata permohonan maaf Hishammuddin “tidak akan menjejaskan maruah orang Melayu kerana keris merupakan simbol semata-mata”.

Sebaliknya, beliau berkata maruah Melayu hanya akan terus terbela jika mereka berjaya dalam bidang strategik untuk terus bersaing dengan bangsa-bangsa lain.

“Saya harap, isu ini tidak berbangkit lagilah, Datuk Seri Hishammuddin telah buat sesuatu yang sangat prihatin dan mulia, maknanya dia sanggup meminta minta maaf walaupun ada pihak mengatakan memang bukan niat dia hendak isytihar perang ataupun disabitkan sebarang tindakan yang bersifat perkauman,” beliau dipetik sebagai berkata di Pekan hari ini.

Mengulas kenyataan ketua Pemuda itu semalam, Najib menambah: “Keris ini satu senjata dalam konteks kebudayaan kita (Melayu), tidak lebih daripada itu… tapi ada pihak yang mainkan isu ini.

“Jadi langkah yang dibuat Datuk Seri Hishammuddin ini (memohon maaf) saya harap akan diterima sebagai sesuatu yang positif, ikhlas dan mulia, supaya isu ini tidak berbangkit lagi.”
Tindakan terpuji, wajar dihormati

YANG NI LAGI PENGECUT

KUALA LUMPUR 26 April – Para pemimpin Pemuda UMNO di semua peringkat menyifatkan kesediaan Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memohon maaf secara terbuka berhubung isu keris Panca Warisan membuktikan beliau seorang pemimpin yang bertanggungjawab.

Ketua Penerangan pergerakan itu, Datuk Azimi Daim berkata, langkah itu menunjukkan Hishammuddin sentiasa peka dengan keresahan dan perasaan kaum lain serta isu-isu yang boleh memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN).

”Kesediaan untuk memohon maaf adalah tindakan terpuji dan wajar dihormati semua pihak kerana ia membuktikan kesediaan untuk bertanggungjawab terhadap setiap tindakan yang telah dilakukan oleh beliau dan ahli Pemuda lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah Hishammuddin semalam yang secara terbuka memohon maaf kepada rakyat negara ini sama ada Melayu atau bukan Melayu jika isu keris Panca Warisan telah menyinggung perasaan mereka.

Hishammuddin berkata, beliau bertanggungjawab jika tindakan menghunus keris Panca Warisan sewaktu Persidangan Perwakilan Tahunan pergerakan itu pada 2005 menjadi faktor yang menjejaskan prestasi BN pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Exco Pemuda UMNO, Johan Abd. Aziz pula berharap isu berkenaan selesai agar pergerakan itu dan Pemuda parti-parti komponen dapat memberikan tumpuan untuk kembali bersatu.

Tegas beliau, kesediaan individu yang menjulang dan mengucup keris berkenaan untuk meminta maaf bermakna tiada lagi isu yang boleh membuatkan Pemuda parti-parti komponen BN tidak bersatu.

Seorang lagi Exco, Kamaruzaman Kamdias berkata, memohon maaf untuk membendung sentimen yang dirasai kaum lain yang gagal memahami warisan orang Melayu adalah tindakan matang walaupun berat untuk dilakukan.

”Kadang-kadang kita terpaksa memohon maaf walaupun tahu kita tidak melakukan perbuatan yang salah,” katanya.

Exco Pemuda UMNO, Abdullah Yusoff juga berharap permohonan maaf itu akan mengembalikan keyakinan bukan Melayu bahawa pergerakan itu sentiasa memperjuangkan perpaduan kaum.

Katanya, ia membuktikan pergerakan itu kini diterajui pemimpin yang memandang ke depan dan sentiasa berusaha memperbaiki kedudukan BN.

Seorang lagi Exco Pemuda, Ir. Mohd. Ikhsan Samsudin pula amat terharu dengan tindakan Hishammuddin yang menggambarkan sifat beliau yang tidak mencari populariti peribadi semata-mata.

”Kesediaan beliau memohon maaf secara terbuka kepada orang Melayu dan bukan Melayu adalah langkah bijak dan berani demi meletakkan kedudukan parti melebihi segala-galanya, walaupun mungkin pahit untuk ditelan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Datuk Khairuddin Yaakob berkata, tindakan Hishammuddin itu menunjukkan beliau adalah pemimpin yang mementingkan parti dan bukannya diri sendiri.

”Ketua Pemuda UMNO telah pun memohon maaf. Oleh itu, saya meminta semua pihak untuk tutup buku dan buat agenda baru bagi memastikan BN terus relevan,” katanya.

Ujar beliau, semua pihak harus memberikan tumpuan bagi mendapatkan semula sokongan generasi muda di peringkat akar umbi.

Ketua Pemuda UMNO Melaka, Ashakari Abu Noor menegaskan, sikap toleransi yang ditunjukkan oleh Hishammuddin harus dijadikan contoh oleh pemimpin Pemuda parti-parti komponen BN.

”Semangat toleransi dan bersabar harus ada dalam diri setiap ahli Pemuda parti komponen BN, demi kebaikan semua kaum,” ujarnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: