MENYELAMI MAKNA POLITIK BARU

Oleh : Marzuki Mohamad

Keputusan pilihanraya umum 8 Mac yang lalu disifatkan oleh banyak pihak sebagai sesuatu yang tidak dijangka. Istilah “tsunami” politik menggambarkan seolahnya telah berlaku satu gempa besar dalam “zon terbenam” politik Malaysia, yang seterusnya menghasilkan satu gelombang mega menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor; mengekalkan kerajaan PAS di Kelantan dan menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.

Adakah sepanjang tempoh dua tiga dekad yang lalu telah berlaku pergerakan perlahan “plak-plak tektonik” dalam zon terbenam politik Malaysia, yang seterusnya membuka jalan kepada kemunculan “politik baru” di negara ini? Politik baru ini mungkin muncul dalam bentuk budaya politik baru yang seterusnya membawa kepada perubahan institusi politik.

Professor Loh Kok Wah dan Professor Johan Saravanamuttu dalam buku mereka “New Politics in Malaysia”, sebuah kumpulan makalah akademik yang diterbitkan selepas pilihanraya umum 1999, membicarakan tentang kemunculan budaya politik baru di Malaysia semenjak awal 1990-an.

Budaya politik baru ini, yang dikenali sebagai developmentalisme, menjadikan pembangunan material dan sikap individualis-konsumeris sebagai elemen penting dalam menentukan pilihan politik. Kemunculan budaya politik baru ini menjadikan wacana politik Malaysia tidak lagi didominasi oleh faktor kaum, tetapi diwarnai oleh kontestasi antara faktor kaum, demokrasi berpartisipasi dan pembangunan ekonomi.

Dalam konteks politik pilihanraya di Malaysia, dominasi wacana kaum telah mewujudkan dikotomi pollitik Melayu-Bukan Melayu yang agak ketara. Misalnya, ketika wacana kaum mendominasi politik negara dalam dekad 1980-an, Barisan Nasional (BN) paling berpengaruh di kawasan majoriti pengundi Melayu. DAP pula dilihat amat berpengaruh di kawasan majoriti besar pengundi Cina.

Trend ini mula berubah dalam dekad 1990-an. Pilihanraya umum tahun 1995 menunjukkan BN, sementara terus mendominasi di kawasan majoriti Melayu dan campuran, turut mengalami peningkatan sokongan di kawasan majoriti Cina. Daripada 25 kerusi Parlimen di kawasan majoriti Cina di Semenanjung Malaysia, BN memenangi 17 kerusi berbanding tujuh kerusi sebelumnya.

Dasar kerajaan yang lebih terbuka dalam isu hubungan kaum, terutamanya yang berkait dengan pendidikan bahasa ibunda dan kebudayaan bukan Melayu, dilihat sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan sokongan bukan Melayu terhadap BN.

Dasar Ekonomi Baru

Sementara itu, kepesatan pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup golongan Bumiputera/Melayu hasil pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), turut mengurangkan risiko ketegangan kaum. Hal ini sedikit sebanyak mengurangkan dikotomi Melayu-Bukan Melayu dalam konteks politik pilihanraya di Malaysia.

Dikotomi Melayu-Bukan Melayu semakin terhakis dalam pilihanraya umum 1999. Politik kaum tidak lagi menjadi isu yang dominan dalam kempen pilihanraya, sebaliknya yang dominan ialah isu-isu bukan kaum seperti demokrasi berpartisipasi, anti-rasuah, pengagihan ekonomi yang adil dan ketelusan dalam pemerintahan.

Terdahulu, gerakan reformasi yang dipimpin oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kemudiannya Barisan Alternatif, telah mengenengahkan aspek kepelbagaian ras dan budaya sebagai teras utama politik demokrasi di Malaysia.

Walaupun ramai pemerhati politik melihat dikotomi Melayu-Bukan Melayu masih dominan dalam pilihanraya umum 1999, terutamanya yang berkait dengan sokongan pengundi Cina kepada BN yang kononnya membantu parti itu mengekalkan majoriti dua pertiga di parlimen, sementara undi Melayu menyaksikan peralihan ketara kepada Barisan Alternatif, DAP hanya mengalami 0.8 peratus penurunan undi popular di kawasan majoriti besar Cina.

Malah, parti itu berjaya meningkatkan jumlah kerusi yang dimenangi di kawasan tersebut – daripada enam kerusi sebelumnya kepada tujuh kerusi. Undi popular DAP di kawasan majoriti sederhana Cina juga mencatatkan peningkatan dari 39 peratus sebelumnya kepada 43.3 peratus.

Peningkatan ini kemungkinan juga disumbangkan oleh sokongan pengundi Melayu kepada parti majoriti Cina itu. Ini bermakna, sementara faktor kaum masih merupakan salah satu elemen penting dalam politik Malaysia, tidak ada satu kaum pun di negara ini yang boleh dikaitkan sama ada dengan parti pemerintah atau pembangkang. Sokongan kedua-dua kaum Melayu dan bukan Melayu terbahagi kepada kedua-dua pihak.

Sementara sokongan kepada DAP di kawasan majoriti Cina terus meningkat dalam pilihanraya umum 2004 dan 2008, trend pengundian di kawasan majoriti Melayu menunjukkan peralihan sokongan berbolak balik kepada BN dan gabungan PAS dan PKR.

Pengundian rentas kaum

Umno berjaya menarik kembali sokongan pengundi Melayu pada 2004 dengan memenangi 63 daripada 71 kerusi parlimen di kawasan majoriti besar pengundi Melayu. Bagaimanapun, dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, peralihan sokongan pengundi Melayu kepada PAS dan PKR telah mengurangkan penguasaan Umno di kawasan ini kepada 43 kerusi.

Lebih menarik, dalam pilihanraya umum lalu, trend pengundian rentas kaum di kawasan campuran telah mula memihak kepada gabungan parti-parti pembangkang dalam Pakatan Rakyat. Paling ketara ialah sokongan pengundi India yang selama ini disifatkan sebagai penyokong setia BN.

Pakatan Rakyat telah memenangi 14 daripada 26 kerusi parlimen di kawasan campuran di Semenanjung Malaysia, walhal dalam pilihanraya-pilihanraya umum sebelum ini, tiada kerusi di kawasan ini yang dimenangi parti pembangkang, kecuali satu pada 1999. Pakatan Rakyat juga berjaya menguasai Kedah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang yang boleh disifatkan sebagai negeri campuran dari segi komposisi etnik pengundi.

Trend pengundian rentas kaum kepada kedua-dua parti BN dan Pakatan Rakyat membuka ruang kepada pembentukan sistem dua parti rentas kaum di negara ini. Dengan syarat kedua-dua parti ini mengambil sikap yang lebih moderat dalam isu-isu hubungan kaum, potensi pembentukan sistem dua parti rentas kaum menjadi semakin cerah.

Dalam sistem dua parti rentas kaum ini, tidak ada satu kaum pun yang boleh diidentifikasikan dengan mana-mana pakatan atau gabungan parti politik. Ini seterusnya boleh mewujudkan iklim pertandingan politik yang sihat dalam sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Dalam sistem dan budaya politik baru ini, tentu sekali soal hubungan kaum akan terus menjadi elemen penting politik Malaysia. Walaupun trend pengundian berubah, perbezaan kaum (communal cleavages) masih wujud. Isu keistimewaan Melayu, pendidikan bahasa ibunda, kebudayaan dan hubungan antara agama akan terus releven.

Namun begitu, kedua-dua gabungan atau pakatan parti-parti politik, yang hampir kesemuanya mempunyai asas kaum tersendiri, perlu menyedari bahawa kelangsungan politik mereka tidak lagi bergantung semata-mata kepada sokongan yang diterima daripada kaum masing-masing. Hal ini berkemungkinan akan mendorong kedua-dua gabungan parti untuk mengambil sikap yang lebih sederhana dalam isu-isu hubungan kaum, tetapi pada masa yang sama, berhati-hati agar sikap tersebut tidak akan dilihat sebagai tindakan mengalah atau “selling-out” kepada kaum lain.

Isu ternakan babi

Di samping faktor kaum, tentu sekali pencapaian merupakan faktor penting yang membezakan antara kedua-dua parti. Keabsahan politik parti-parti ini tidak lagi bergantung semata-mata kepada sentimen kaum atau kesetiaan kepada parti, tetapi kepada keupayaan masing-masing untuk menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.

Kemunculan golongan pengundi konsumeris-individualis, yang lebih mengutamakan keupayaan kerajaan untuk menyelesaikan masalah mereka – daripada memberi masalah kepada mereka – tentu sekali menuntut parti-parti politik memberi keutamaan kepada ‘prestasi’ daripada sentimen.

Misalnya, isu projek ternakan babi moden di Selangor. Apakah rakyat melihat isu ini dari kaca mata sentimen, iaitu orang Melayu tidak suka kepada babi dan orang Cina, tidak kira apapun, mesti mempertahankan penternak babi; atau dari kaca mata ‘prestasi’, iaitu parti manakah yang berupaya menawarkan penyelesaian terbaik kepada masalah pencemaran alam di samping memastikan bekalan babi tidak berkurangan?

Politik baru ini tentu sekali tidak muncul dalam satu vakum. Perubahan sosio-ekonomi, proses perbandaran, pemeluasan kelas menengah, kewujudan golongan konsumeris-individualis dan kesedaran terhadap politik demokrasi berpartisipasi yang stabil, memunculkan individu celik politik yang menilai secara kritis tindak-tanduk ahli politik dan dasar parti politik dan kerajaan. Dalam erti kata lain, golongan ini biasanya lebih bebas dalam membuat pilihan politik.

Sementara ramai penganalisis politik cuba memberi rasional kepada kemunculan gelombang tsunami politik dalam pilihanraya umum lalu dengan mengaitkan rantaian faktor peristiwa dan personaliti politik, plak-plak tektonik politik Malaysia – pembangunan ekonomi, proses urbanisasi, pemeluasan kelas menengah dan kemunculan golongan konsumeris-individualis rentas kaum – telah bergeseran sesama sendiri secara perlahan-lahan sejak beberapa dekad yang lalu.

Sementara rantaian faktor peristiwa dan personaliti memberi pelengkap kepada keributan tsunami itu, gelombang tsunami politik itu sendiri merupakan hasil daripada ledakan yang berlaku dalam “zon terbenam” politik Malaysia. Yang perlu diteropong oleh para penganalisis politik ialah sejauh mana ledakan itu telah menyebabkan perubahan struktural kepada lanskap politik Malaysia.

……………………………………………….
~Marzuki Mohamad ialah pensyarah sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa pusat Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: