Kongres syor 5 langkah jaga hak Melayu

Oleh LUQMAN HAZIQ dan
SAHBULAH DARWI

JOHOR BAHRU 2 Mei – Kongres Permuafakatan Melayu malam ini mencadangkan lima langkah drastik termasuk menubuhkan Majlis Muafakat Melayu (3M) untuk menjaga hal ehwal, hak dan menyelesaikan masalah orang Melayu di negara ini.

Selain penubuhan 3M, kongres itu turut menyarankan dikukuhkan bahasa, budaya dan parti politik Melayu selain mencabar agenda pihak tertentu yang bersikap perkauman.

Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Ismail Hussein berkata, pembentukan 3M penting untuk menjadi saluran rasmi bagi orang Melayu kerana unsur perkauman kini semakin menebal dalam masyarakat.

“Walaupun terdapat pihak yang ingin memberi nama lain seperti Majlis Muafakat Orang Melayu, tetapi apa pun nama yang akan diberikan, ia bertujuan menjadi saluran rasmi kepada kita semua.

“Kalau 200 badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir dalam kongres ini dapat memberi sokongan padu, saya rasa tidak timbul masalah (untuk mewujudkan majlis itu),” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Permuafakatan Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini.

Lebih 1,000 aktivis dan cendekiawan Melayu menyertai kongres dua hari itu.

Dalam ucapannya, Ismail turut mencadangkan supaya semua NGO Melayu bersatu dan melaksanakan tanggungjawab menegakkan hak orang Melayu.

Menurutnya, Gapena berpendapat unsur kemelayuan sangat penting dan mendesak dalam pembangunan Malaysia pada masa akan datang.

Selain itu, beliau menyeru semua parti politik Melayu dan bukan Melayu supaya memerangi unsur perkauman yang amat ditakuti oleh semua rakyat negara ini.

Menurut Ismail, unsur-unsur perkauman makin menebal selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menyaksikan kemerosotan prestasi Barisan Nasional.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memerangi dan menghapuskan unsur tersebut.

“Hati bangsa Melayu tidak harus dilukakan. Nampak sangat sikap perkauman dan sikap menghina orang Melayu akan menjadi sangat nyata dan kita perlu menghadapinya,” ujar beliau.

Ismail mengajak orang Melayu mengambil pengajaran di atas kemenangan dan kekalahan sebuah parti Melayu yang telah lama berjasa kepada orang Melayu kerana kini terdapat parti Melayu yang tidak mempunyai pengalaman memerintah masyarakat berbilang kaum yang kompleks.

“Maka, mereka menggunakan kesempatan ini untuk melepaskan geram dan membalas dendam dan ini bertentangan dengan Perlembagaan Negara,” ujarnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: