Melayu Marah – PM. UMNO, lima ahli Parlimen, NGO buat laporan polis terhadap Karpal – MB PERAK MEMBISU / NIK AZIZ – MELATOP / HUSAM – NO KOMEN

Oleh ARSHAD KHAN

KUALA LUMPUR 8 Mei –Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengarahkan UMNO membuat laporan polis terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh ekoran kenyataannya yang mempersoal bidang kuasa Sultan Perak.

Laporan itu telah dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini.

Presiden UMNO ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia Kelima (MIHAS) di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) di sini menegaskan, laporan polis dibuat kerana tindakan Karpal mempunyai kecenderungan menghasut dan menimbulkan kemarahan orang Melayu.

Menurut beliau kenyataan Pengerusi DAP itu dalam isu berkenaan antara lain boleh dilihat sebagai menggambarkan bahawa sultan tidak tahu tentang tugas dan bidang kuasa mereka.

Katanya, justeru kenyataan itu jelas adalah satu bentuk hasutan dan dengan adanya laporan polis maka perkara itu akan dibawa kepada Jabatan Peguam Negara dan mahkamah untuk tindakan seterusnya.

“Setiausaha Agung UMNO diminta membuat laporan polis supaya kes ini dapat dibawa kepada Jabatan Peguam Negara dan mahkamah,” katanya.

Karpal sebelum ini mempertikaikan tindakan Sultan Azlan Shah menitahkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menarik balik arahan penukaran Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury yang disifatkan sebagai campur tangan istana dalam pentadbiran negeri.

Karpal sehingga hari ini terus mempertahankan kenyataannya itu walaupun dikritik pelbagai pihak termasuk desakan supaya beliau meminta maaf.

Tidak cukup mengenai isu tersebut, Karpal juga dilaporkan sebagai turut mempersoalkan siapa yang menjadi penulis titah ucapan Yang di-Pertuan Agong semasa pembukaan Sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ini mendorong beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) membidas tindakan pemimpin DAP itu yang disifatkan menghina institusi raja.

Tambah Perdana Menteri, kenyataan Karpal yang berunsur hasutan itu secara nyata telah menimbulkan kemarahan banyak pihak di negara ini.

“Malah saya telah diberitahu, bukan sahaja orang Melayu tetapi juga rakyat Malaysia lain, yang menghormati Perlembagaan berasa kesal dan amat marah dengan apa yang berlaku,” jelasnya.

Tengku Adnan ketika ditemui selepas membuat laporan itu berkata, kenyataan yang dibuat oleh Karpal itu wajar disiasat dan diambil tindakan mengikut Seksyen 3(1)(a) atau (f) Akta Hasutan 1948 kerana dibuat di kawasan lobi Parlimen.

“Beliau turut mempersoalkan secara terbuka tentang budi bicara raja-raja Melayu di Terengganu, Perlis dan Perak sambil membuat ulasan keras bahawa raja tertakluk kepada undang-undang seperti rakyat biasa ekoran pindaan Perlembagaan tahun 1993.

“Ulasan tersebut seolah-olah memberi amaran kepada Sultan Perak dan raja-raja Melayu yang lain supaya tidak campur tangan dalam pentadbiran negeri dan ini adalah satu penghinaan kepada raja-raja Melayu,” katanya.

Tambah beliau, Karpal masih perlu dikenakan tindakan walaupun Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury yang sebelum ini ditukar serta-merta telah dikembalikan ke jawatan asalnya.

“Soalnya sekarang, kenapa beliau membuat kenyataan seperti itu dari mula, adakah untuk menyakitkan hati rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Karpal itu dibimbangi mampu mencetuskan sentimen perkauman di kalangan rakyat negara ini.

Turut membuat laporan polis terhadap Karpal hari ini ialah Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dan Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM).

Laporan BNBBC dibuat oleh Penasihat Undang-Undangnya, Razali Ibrahim di Balai Polis Brickfields dengan diiringi empat lagi ahli Parlimen iaitu Dr. Mohd. Puad Zarkashi (Batu Pahat), Datuk Mohamad Aziz (Sri Gading), Datuk Ismail Kassim (Arau) dan Ahmad Maslan (Pontian).

Laporan oleh BBPM pula dibuat oleh Pengerusinya, Osman Bakar di balai polis yang sama.

Sementara itu Perdana Menteri ketika diminta mengulas mengenai pendakwaan terhadap editor laman web, Raja Petra Raja Kamarudin di bawah Akta Hasutan, berkata, sesiapa pun tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

‘‘Kalau dah melanggar undang-undang, tentu akan ada tindakan terhadapnya .

‘‘Kalau bersalah dia kena hadapilah, negara kita ada undang-undang dan kenalah hormati,’’ tegasnya.
…………………………………………………………………
Nizar membisu

Oleh Abdul Razak Din

IPOH 8 Mei – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mengambil sikap berdiam diri dengan tidak menyatakan sebarang pendirian terhadap kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Ketika diminta menyatakan pendirian berhubung perkara itu beliau hanya menjawab: ”Tiada, tiada, tiada, tiada komen, tiada kenyataan daripada saya.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Meskipun didesak oleh para wartawan, Mohammad Nizar tetap mengelak untuk memberikan sebarang komen.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir meminta Menteri Besar menyatakan pendirian kerajaan negeri terhadap sikap biadap Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Ini kerana katanya, seluruh rakyat yang menghormati institusi raja terluka dengan sikap Karpal mempertikaikan kuasa Sultan Perak dan Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah secara terbuka.

Tindakan Karpal menyanggah titah Sultan Perak menunjukkan keperibadian beliau tidak terdidik dengan sosio-budaya dan sistem berkerajaan yang diwarisi turun temurun di negara ini.

Malah, apa yang paling dikesali, katanya, Karpal mengkritik Sultan Perak yang pernah menyumbangkan jasa besar dalam perundangan negara dan disegani seluruh masyarakat.

Sementara itu, Mohammad Nizar juga memberitahu, beliau belum mendapat perkenan Sultan Perak untuk menghadap memohon ampun berhubung tindakannya yang membelakangkan baginda ketika mengarahkan pertukaran Pengarah JAIP.

”Saya belum mendapat perkenan untuk menghadap baginda dan tarikhnya juga belum ditetapkan,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: