SURAT TERBUKA KEPADA AHLI DAN PEMIMPIN UMNO (Sempena Memperingati 62 Tahun Perjuangan Bangsa)


Assalamualaikum wbt.

Ahli dan Pemimpin UMNO yang dihormati.

Walaupun agak terlewat, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari UMNO yang ke 62 tahun pada 11hb Mei 2008 yang lalu.

Samada kita mengakuinya ataupun tidak, kita tidak boleh menafikan jasa dan sumbangan yang telah UMNO berikan kepada kemajuan agama, bangsa dan negara kita selama ini.

Sebagai mengenang kembali ingatan kita, cuba kita bayangkan Tanah Melayu atau Malaysia tanpa perjuangan UMNO untuk mendapatkan kemerdekaan. Tanah Melayu tanpa pemimpin seperti Dato’ Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman (Bapa Kemerdekaan Negara). Malaysia tanpa Tun Abdul Razak (Bapa Pembangunan Negara), Tun Hussein Onn (Bapa Perpaduan Negara) dan Malaysia tanpa YAB Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad (Bapa Permodenan Negara).

Bagaimanakah agaknya kedudukan Malaysia dan kita semua sebagai rakyat Malaysia pada ketika ini tanpa jasa dan perjuangan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, PEKEMBAR @ UMNO dan pemimpin-pemimpin yang saya sebutkan tadi.

Ingin saya peringatkan kembali, tujuan dan matlamat penubuhan UMNO adalah untuk menerajui perjuangan mengangkat maruah dan martabat agama, bangsa dan negara yang telah pernah dijajah selama lebih 450 tahun.

Setelah 62 tahun UMNO berjuang dan setelah 52 tahun Malaysia merdeka, kita harus mengakui dan menginsafi bahawa telah banyak kejayaan yang telah dicapai dalam semua bidang hasil dari usaha dan dasar yang telah diambil dan dilaksanakan oleh UMNO sebagai parti yang mendominasi Kerajaan Barisan Nasional selama ini.

Walaubagaimanapun, kita juga harus mengakui bahawa masih banyak lagi yang perlu UMNO lakukan untuk mencapai matlamat perjuangannya.

Kita juga harus mengakui bahawa kadangkala UMNO dilihat sudah menyimpang dari matlamat asal perjuangannya.

Sebagai ahli, sebagai bekas pemimpin dan yang penting sekali sebagai penyokong dan pendokong UMNO, saya ingin menegaskan kepada semua bahawa, UMNO sebagai sebuah pertubuhan tidak pernah sama sekali menyimpang apa lagi mengkhianati matlamat asal perjuangannya untuk mengangkat maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

Yang menyimpang dan menghianati perjuangan UMNO adalah segelintir ahli dan pemimpin UMNO yang mengambil kesempatan untuk memenuhi matlamat diri mereka sendiri. Mereka ini tidak ‘bertuankan perjuangan’. Mereka ini mengambil pemimpin tertentu sebagai ‘tuan’ perjuangan mereka.

Justeru sempena 62 tahun perjuangan UMNO, saya ingin menjelaskan bahawa “DALAM PERJUANGAN POLITIK, KITA TIDAK BOLEH BERTUANKAN KEPADA SESIAPA MAHUPUN KEPADA MANA-MANA PEMIMPIN. TUAN KITA YANG SEBENAR ADALAH PERJUANGAN MENGANGKAT MARTABAT DAN MARUAH AGAMA, BANGSA DAN NEGARA”.

Kebanyakan ahli dan pemimpin UMNO pada ketika ini cenderung untuk bertuankan individu khususnya bertuankan pemimpin-pemimpin tertentu yang dapat memberikan imbuhan dan kesenangan peribadi kepada dirinya sendiri. Dan apabila ini berlaku, mereka tidak mempunyai upaya untuk menegur ‘tuan’ mereka ini apabila ‘tuan’ ini melakukan kesilapan dan kesalahan malah jikapun ‘tuan’ mereka ini menyimpang dan mengkhianati perjuangan parti, ahli dan pemimpin seperti ini akan menjadi ‘lembu yang tercucuk hidung’ yang menuruti sahaja arahan ‘tuan’nya tadi.

Inilah punca kelemahan UMNO pada ketika ini. Sekiranya kita mengakui kesilapan ini, marilah kita bersatu untuk saling ingat mengingat akan tujuan asal perjuangan UMNO yang kita dokong selama ini. Mudah-mudahan, sekiranya semua ahli dan pemimpin-pemimpin dapat kembali kepada perjuangan asal UMNO, dapat kembali bertuankan “perjuangan mengangkat martabat dan maruah agama, bangsa dan negara”, UMNO akan kembali utuh, kembali kuat dan kembali mampu menjadi jaminan kepada kewujudan sebuah bangsa Melayu yang berdaulat, berjaya dan dihormati di seluruh dunia.

Sayangkan Bangsa.

Terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: