UMNO BAKAL DIHARAMKAN SEKALI LAGI

~MataHatiJohor~ :Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Joseph Salang Gandum berkata di Dewan Negara, 22 laman web, blog disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berikutan memaparkan kandungan yang menyalahi peraturan.

Penulis cuma ingin mendapatkan kepastian, web dan blog yang bagaimanakah yang sedang disiasat itu. Adakah ianya merupakan web dan blog yang ditulis oleh anasir subversif yang mahu menghuru-harakan keamanan negara atau web dan blog yang mengkritik sesetengah pemimpin parti politik khususnya UMNO dan juga kerajaan.

Jika web dan blog yang sedang disiasat mahupun yang akan disiasat adalah dari jenis yang mahu menghuru-harakan keamanan dan keselamatan negara maka penulis amat bersetuju sekali.

Dewasa ini, web dan blog adalah medium meluahkan pandangan dan pemikiran tentang apa juga perkara yang mempunyai kepentingan masyarakat khususnya yang melibatkan penyelewengan, rasuah, pecah amanah, penyalahgunaan kuasa namun tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk menyebarkan fitnah untuk menjatuhkan pihak-pihak yang tertentu.

Namun begitu dalam konteks UMNO, adakah blog-blog yang ditulis oleh ahli-ahli UMNO yang mengkritik sesetengah pemimpin dengan menyebarkan dakwaan-dakwaan yang belum tentu kesahihannya juga termasuk dalam kategori yang sedang dan akan disiasat oleh pihak berkuasa kerajaan?. Jika terbukti, bagi pihak berkuasa, bahawa web dan blog tersebut didapati menyalahi peraturan maka adakah ianya akan di dakwa di mahkamah sivil?.

Jika jawapannya ya, maka UMNO akan menghadapi satu lagi masalah besar.

Pengurusan UMNO selama ini mengingatkan ahli dan pemimpin supaya menyelesaikan segala pertikaian secara dalaman melalui saluran parti. Ahli dan pemimpin dilarang sama sekali untuk membawa sebarang pertikaian ke mana-mana Mahkamah bagi mengelakkan perkara seperti peristiwa UMNO diharamkan pada tahun 1987 berulang sekali lagi.

Pada pandangan penulis, sekiranya benar penulis-penulis blog UMNO ini nanti dihadapkan ke mahkamah, maka yang tidak mengikut nasihat pengurusan parti adalah pengurusan parti UMNO itu sendiri. Jika pengurusan parti UMNO sendiri yang sudah melanggar apa yang diputuskannya sendiri maka apa pula salahnya ahli dan pemimpin UMNO juga melanggar arahan dan mula membawa sebarang pertikaian dalaman parti ke mahkamah sivil.

Kesannya, kemungkinan untuk permasalahan UMNO dibawa ke mahkamah adalah tinggi sama tingginya dengan kemungkinan UMNO akan sekali lagi diistiharkan HARAM oleh mahkamah juga.

Fikir-fikirkanlah. Apabila budaya membodek dan mengampu berleluasa, maka daya fikir ahli dan pemimpin akan terbantut yang menjadikan mereka pendek akal dan mencari jalan mudah untuk menghukum – bukan menyelesaikan masalah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

26/05/2008 3:05pm

KUALA LUMPUR 26 Mei – Sebanyak 22 buah laman web dan blog telah disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berikutan memaparkan kandungan yang menyalahi peraturan.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, daripada jumlah itu, 17 disekat sementara kertas siasatan terhadap tiga laman yang berkenaan telah disiapkan.

“Kertas siasatan ini juga telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan undang-undang selanjutnya termasuk pendakwaan di mahkamah.

“Perlu ditegaskan bahawa setiap kandungan di Internet telah ditetapkan sebagai tidak boleh menyebarkan kandungan yang bersifat palsu, mengancam atau yang jelik.

“Ini ditetapkan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Senator Sharifah Azizah Syed Zain pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Menurut Joseph, mereka yang teraniaya dengan penyiaran di laman web dan blog termasuk ahli politik yang difitnah boleh mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Beliau menambah, selain SKMM, sebenarnya salah laku pengendali laman web dan blog juga boleh diambil tindakan di bawah akta lain dan oleh agensi kerajaan yang lain.

“Antaranya Akta Hasutan, Kanun Keseksaan, Akta Syarikat, Akta Bank dan Institusi Kewangan yang memberi bidang kuasa kepada agensi seperti Bank Negara dan polis untuk bertindak.

“Malah orang perseorangan juga boleh mengambil tindakan terhadap pengendali laman blog melalui undang-undang sivil sekiranya merasakan telah difitnah dan sebagainya,” jelasnya.

Bagaimanapun, ujar beliau, kerajaan buat masa ini belum bercadang menubuhkan sebuah badan khusus bagi memantau laman-laman blog.

“Memang ada beberapa kekangan dalam kita bertindak ke atas laman blog yang melakukan pelanggaran undang-undang antaranya sebab pengendalinya menggunakan platform luar negara selain blog itu sendiri tidak dilesenkan.

“Namun kerajaan mempunyai mekanisme tersendiri melalui penubuhan pasukan petugas operasi yang turut merangkumi Majlis Keselamatan Negara (MKN),” ujarnya. -Utusan
………………………………………………………………

Tiada kebebasan mutlak – Bukan alasan rosakkan reputasi, hina agama – Abdullah

Oleh ARSHAD KHAN
KUALA LUMPUR 27 Mei – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk merosakkan reputasi dan harga diri seseorang atau menghina agama lain termasuk agama Islam.

Perdana Menteri menegaskan, kebebasan bersuara sememangnya adalah hak asasi tetapi ia bukanlah sesuatu yang mutlak atau boleh dilakukan tanpa kawalan.

“Masyarakat yang sangat menyayangi kebebasan di dunia ini pun pasti tahu bahawa tidak ada satu bentuk kebebasan tanpa had termasuk juga kebebasan untuk bersuara,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Media Asia di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata Abdullah, setiap negara termasuk Malaysia memerlukan undang-undang untuk melindungi rakyatnya daripada sebarang dakwaan berunsur fitnah dan mempertahankan institusi terasnya daripada kenyataan berbentuk hasutan.

“Saya tidak melihat undang-undang seperti ini (bertujuan melindungi rakyat dan institusi teras) sebagai membendung kebebasan, malah penting bagi memastikan masyarakat kita bergerak sihat,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan sentiasa menyokong kewartawanan beretika dan syarikat yang melaksanakannya.

“Media seperti yang kita maklum adalah komponen terpenting dalam pembentukan negara bangsa dan pentadbiran yang terbaik,” katanya.

Abdullah juga melahirkan keyakinan bahawa media tradisional iaitu surat khabar dan televisyen tidak akan terkubur di tangan penggendali blog atau program seperti YouTube seperti didakwa sesetengah pihak.

“Saya yakin media tradisional akan kekal di hadapan dalam menyediakan kandungan walaupun ia kehilangan monopoli dalam mendapatkan perhatian orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, keyakinannya bersandarkan hakikat bahawa kebanyakan syarikat media kini telah mula mempelbagaikan saluran berita mereka untuk menarik perhatian ramai.

“Media tradisional masih lagi terlalu jauh dari segi kualitinya walaupun ada segelintir pengamal media baru di Internet yang mungkin menghampiri kualiti itu,” katanya.

Perdana Menteri berharap mereka akan terus berpegang kuat kepada nilai-nilai seperti ketepatan, kebijaksanaan dan kesaksamaan.

“Nilai-nilai inilah yang membezakan anda dengan lambakan maklumat yang kita ada sekarang,” kata Abdullah.

Beliau turut mencadangkan diperkenalkan dasar yang boleh memantapkan penggunaan media memandangkan teknologi komunikasi baru mampu menjadi alat untuk tadbir urus yang baik.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: