UMNO PUPUS TAHUN 2013

Ahmad Lutfi Othman & Azamin Amin
Sun | Jun 01, 08 | 6:26:44 am MYT

Tan Sri Sanusi Junid memang dikenali suka berterus-terang. Walaupun sudah bersara dari politik, bekas Naib Presiden Umno ini turut mencipta kejutan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila mengsiytihar turut keluar Umno.

Beliau tidak ragu-ragu menjangkakan Umno akan hilang kuasa sepenuhnya dalam pilihan raya akan datang jika langkah pemulihan tidak dilaksanakan sebaiknya, yakni dengan memastikan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan.

Beliau tidak mengambil masa lama untuk bersetuju diwawancara Harakah. Petang Ahad, 25 Mei lalu, di kediamannya, Bangsar, Sanusi berbicara panjang bersama Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman dan wartawan Azamin Amin. Berikut adalah sedutan wawancara berkenaan.

Harakah: Ramai tahu sebab Tun Dr Mahathir MOhamad keluar Umno. Apa pula hujah Tan Sri mengikut jejak Dr Mahathir, apakah sama atau ada alasan lain?

Sanusi Junid: Sama alasan dengan Mahathir dan ada alasan saya sendiri. Tetapi saya lihat seperti Mahathir lihat, Umno sekarang ini bukan macam Umno yang dulu. Umno yang ditubuhkan pada 1946 dan batal pada 1987 kemudian dihidupkan balik adalah Umno yang sama, tetapi Umno hari ini banyak berubah.

Umno dulu perjuangkan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, konsep raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen. Sekarang kita lihat Islam agama rasmi, tetapi diperkenalkan pula Islam Hadhari. Apa pentingnya Islam Hadhari? Salah satu sebab undi lari dari Umno ialah konsep Islam Hadhari itu, walaupun berjuta ringgit dihabiskan untuknya. Begitu juga dengan kedudukan bahasa Melayu yang semacam terhalang.

Dulu tidak pernah ada orang berani mencabar atau mengkritik hak istimewa orang Melayu yang tercatit dalam Perlembagaan. Ia bukan bermaksud menekan orang bukan Melayu. Ini sekadar melibatkan biasiswa, lesen dan tanah. Daripada inilah yang boleh kita buat macam-macam projek seperti Felda dan Felcra. Dengan hak ini juga kita beri biasiswa dan selari dengan Islam kita wujudkan pula Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Malah kewujudan UIA adalah ciptaan yang paling hebat dalam konteks dunia Islam.

Dulu orang tidak berani persoal raja-raja. Kita kalau nak lantik Menteri Besar, kita beri gambaran dahulu kepada raja. Macam Sultan Johor yang sudah tahu siapa akan jadi MB sebelum pilihan Raya, tetapi kenapa tidak kepada raja di Terengganu dan Perlis? Bila kita sendiri tak hormat raja, orang lain pun akan ikut sama.

Banyak yang keliru dalam Umno?

Ya, banyak perkara yang nampak keliru dan tak jelas sekarang. Yang tak faham khususnya generasi muda dalam Umno, kerana tidak ada pendidikan tentang itu. Dulu ada seminar, misalnya saya mengikuti Persidangan Pemuda Umno Kebangsaan di Morib pada 1965, dibentangkan kertas-kertas kerja dan kita dapat tahu darinya.

Ada dua golongan ahli Umno yang tidak bertambah ilmu walaupun dia seorang pandai. Pertama kaum wanita yang kerjanya menghidangkan makanan. Orang sibuk kursus atau berseminar, mereka sibuk dengan masakan. Kalau kita tanya, ada tidak pergi seminar, mereka jawab ada. Tapi mereka ini tak tau apa berlaku dalam Umno.

Kedua, golongan yang masuk dalam Umno, ada lantikan daripada atas. Dia dipilih mungkin sebab keluarga dan lepas dipilih, terus ke pangkat besar. Sekarang ada menteri Umno bagi komen, Umno haram kerana Mahathir. Kedua, Operasi Lalang pun sebab Mahahtir.

Pemecatan Tun Salleh kerana Mahathir. Ini subjek yang cukup popular. Nampaknya orang yang bertanggungjawab memberi penerangan kepada negara dan parti tidak faham hal ini.

Abdullah pun keliru juga nampaknya?

Saya ada dalam Majlis Tertinggi dan Kabinet, malah Dato’ Seri Abdullah juga ada. Apa alasan dia boleh kata Mahathir yang suruh tangkap Operasi Lalang. Tak suruh pun, itu kerja polis. Pemecatan Tun Salleh ditentukan oleh tribunal; jika perlu minta maaf, tribunallah minta maaf bukannya kerajaan.

Sekarang banyak perkara aneh. Macam kes ketuk-ketampi yang didakwa babitkan perempuan China. Terus kita hantar menteri ke negara itu untuk minta maaf. Rupanya perempuan Melayu. Ooo … kalau perempuan Melayu tak payah minta maaflah ya?

Baru-baru ini isu keluar keris. Mana ada orang Cina takut keris Melayu ini. Keris tak ada kuasa apa-apa. Ia hanya simbol.

Orang Cina tak suruh minta maaf pun. Tetapi yang kita pergi minta maaf itu buat apa ? Di mana kewibawaan kita dan kekuatan jiwa pemimpin Umno.

Saya rasa aneh. Sebagai menteri yang cukup lama dalam Kabinet dan bekas Setiausaha Agung Umno, bolehkah saya duduk di situ, walhal saya tahu apa yang jadi dan melihat Dr Mahathir dikata orang?

Kata pada Dr Mahathir pun dengan cara di luar tertib dan adab Melayu. Sedangkan Mahathir pernah melantik orang-orang ini yang terdiri daripada anak kawan dia.

Dia lantik sebab ada perhitungan politik dan kemampuan serta kebolehan seseorang. Lantik bapa sebagai duta, sekarang anak-anak itu yang kutuk dan serang dia sampai tak ada sopan langsung. Dulu salam cium tangan sekarang mengata macam Mahathir ini haiwan!

Ini bukan Umno dulu. Islam pun, Islam lain. Dalam soal bahasa pun kita tidak ada fokus. Soal raja pun sudah tidak ada ketertiban dan adab sopan. Hak keistimewaan orang Melayu pun sudah jadi ‘tak ketahuan’.

Nak tubuhkan suruhanjaya lantik hakim. Apa salah sistem sekarang? Pihak kehakiman yang pilih, beri pada Perdana Menteri yang bawa ke kabinet, dan sembah kepada Agong, dan Agong runding dengan Raja-Raja. Kalau tak setuju, kita ketepikan. Tapi mereka tak tambah. Menolak cadangan itu ada. Tambah mana yang suka, itu tidak ada.

Begitu juga hal lobi. Untuk buat kerja di universiti, kontrak RM500,000, ada orang-orang besar di Putrajaya hantar surat lobi saya. Siapa yang tak lobi? Semua orang lobi. Tetapi setakat mana berkesan lobi itu, itu yang perlu diberi perhatian. Berapa orang yang jadi menteri melobi melalui saya, ramai. Yang nak jadi menteri besar, timbalan menteri. Adakah salah dia melobi? Tak salah melobi.

Begitu juga dengan perniagaan. Ada tokoh politik yang tetapkan syarat nak sekian banyak komisyen beri projek kepada orang berniaga. Kita tak boleh salahkan peniaga. Kita mesti salahkan orang yang minta.

Rasuah pula satu isu. Saya pernah tengok ada tokoh di universiti menentang sungguh rasuah tetapi bila masuk dalam kerajaan, senyap. Tak ada apa-apa pun. Takkan duduk dalam kerajaan lima enam tahun, takkan tak boleh bertindak terhadap orang yang rasuah.

Tapi nak bertindak mesti ada buktilah. Bukan senang nak tangkap orang rasuah. Jangan kerana nak tambah undi, kita kata nak hapus rasuah. Tetapi sekarang tengok apa dah jadi. Ini semua menyebabkan kita naik muak.

Tan Sri tak nampak apa-apa perubahan dalam Umno selepas 8 Mac?

Tun Mahathir tidak mahu lihat Umno hapus. Kecenderungan untuk Umno pupus sudah ada. Tengoklah apa yang dibuat pimpinan Umno selepas pilihan raya lalu, lihat perlantikan menteri, lihat komentar-komentar, seolah-olah tak ambil iktibar. Jika ia berlanjutan, pada 2013, Umno akan pupus. Waktu itu tak usahlah fikir siapa bakal PM.

Ada orang kata Mahathir boleh menyatupadukan semula. Tak usah fikirlah. Tak boleh dah. Orang sudah tak mahu dengar cakap dia. Kita lepas dan biarkan tokoh-tokoh kata kat dia, macam itukah cara nak berdamai dan nak cari kawan?

Kalau dia tunggu dalam Umno dan sampai 2013, maka dia adalah sebahagian daripada kemusnahan Umno dan dia adalah sebahagian daripada pemimpin yang tak mampu pertahankan Umno.

Itu sebab, dia beri syarat. Daripada Abdullah lebih baik orang lain yang jadi PM. Mungkin kita boleh bekerjasama balik. Mungkin orang lain belum ada kepentingan keluarga, kepentingan peribadi.

Perwatakan Abdullah sejak dulu rasanya tidak berubah. Kalau dia lemah, maknanya dia lemah sejak dulu. Soalnya, apakah Mahathir ketika melantiknya sebagai pengganti beliau tidak menyedari kelemahan Abdullah yang cukup ketara itu?

Mahathir sedar akan kesilapannya dan tahu Abdullah lemah tetapi masa itu tidak ada banyak pilihan. Najib masih muda, jadi Mahathir hitungkan kedua-dua mereka adalah ideal.

Mau tak mau Abdullah Timbalan Presiden Umno ketika itu dan imejnya ‘Mr Clean’. Pejabat Mahathir di Yayasan Perdana di Putrajaya, maknanya dia sanggup untuk beri khidmat nasihat atau bantu Abdullah dalam segala hal.

Waktu Mahathir lantik nampak dia baik, bersih. Itu tak salah Mahahtir. Rakyat juga percaya dia ‘Mr Clean’ sehingga menang besar 2004. Masa menang 2004, dia kata faktor dia sahaja tetapi bila kalah 2008, dia kata bukan salah dia seorang pula. Kenapa dia tak mengaku.

Ada pihak beranggapan, berbanding 1999, Umno tidak kalah teruk kali ini. Yang kalah ialah MCA, MIC dan Gerakan sebab banyak kerusi Umno masih menang.

Kalau kita pilih macam itu, memanglah. Dia pergi Perlis dia kata kita menang, betullah itu. Tetapi kalau dia pergi Kedah, Selangor, Perak bolehkah kata dia menang? Begitu juga di Wilayah Persekutuan. Malah di Johor, ada 322,000 undi rosak. Itu semua undi Melayu, campur sikit bukan Melayu.

Waktu taklimat sebelum pilihan raya dalam Majlis Tertinggi Umno, ada laporan kata di Selangor, pembangkang sifar, macam itu juga tentang Perak dan Kedah, malah Kelantan pun cerah untuk ditawan. Dari mana datang sumber ini?

Padahal waktu saya menjadi Menteri Besar Kedah, saya tahu nak kalah tapi akhirnya kita berjaya menang dua pertiga walaupun Parlimen kalah banyak. Jadi saya letak jawatan sebab tak mampu dah, jadi beri peluang orang lain.

Bn kalah hanya hanya kerana undi bukan Melayu. Orang Melayu sendiri sudah tidak undi Umno. Itu yang ramai lihat Umno cukup lemah kepimpinna. Mengenai protes orang India, mulanya mereka hanya marahkan beberapa individu MIC, tetapi disebabkan lemah kepimpinan di atas, menolak BN seluruhnya.

Mungkinkah tindakan Mahathir dan Tan Sri sendiri keluar Umno, bukan menyebabkan Umno akan pulih malah lebih teruk lagi?

Mahathir meletakkan senario 2013 supaya ahli-ahli Umno sedar. Sekarang Mahathir dilihat keluar seorang tetapi tindakannya itu menyebabkan ratusan ribu yang lain kesal dengan kepimpinan yang ada. Bila pilihan raya ke-13, lagi teruklah kalah.

Kenapa tunggu 2013 baru nak berubah. Biarlah berubah dari sekarang. Begitu juga tahun 1969, Tun Razak dan Dato’ Asri daripada PAS sama-sama berjumpa nak selesaikan masalah. Ada berlaku pada waktu sekarang?

Pada tahun 1969, pembangkang tak berapa pandai. Mereka, yakni pembangkang bukan Melayu, sakitkan hati orang Melayu. Buat demonstrasi sana sini. Tapi kali ini, bila menang banyak, mereka cukup berhati-hati. Saya dapat sms daripada mereka yang meminta penyokong bertenang, “jangan keluar rumah, jangan tunjuk kita suka, jangan bagi orang Melayu marah”.

Dia tahu Melayu tidak akan mengamuk selagi tidak ‘provoke’. Apa pasal Cina dan India ceti cukup baik dengan orang Melayu, bagi pinjam duit, jual barang dan beri hutang. Tapi kalau kacau anak dara orang Melayu, berparanglah dia!

Mengapa asyik kata kita menang, tanpa turun ke bawah, dengar masalah rakyat. Mereka tak faham budaya orang Melayu sebab guna teori Tingkat 4 JPM.

Mahathir mendakwa Umno kini jadi parti Abdullah, semua orang takut kepadanya, walhal watak Abdulllah sebenarnya bukanlah begitu keras. Yang nampak keras adalah watak Mahathir sendiri.

Saya rasa ada baiknya sistem Mahathir. Bila orang lihat dia keras, yang keras itu dia. Manakala Abdullah, dia tidak bergerak seorang. Dia ada anak dan dia ada menantunya. Kalau dia lembut tapi anak menantu keras macam mana? Jadi ramai orang marah pada Pak Lah kerana menantunya.

Di Putrajaya, berapa ramai pegawai kerajaan yang marah tetapi mereka tak tunjuk. Semuanya senyum macam Abdullah. Peranan dan pengaruh pegawai kerajaan tak boleh buat main. Pegawai kerajaan juga faktor penting dalam kekuatan Umno.

Tempoh empat tahun sudah cukup untuk Tingkat 4 ini merosakkan kekuatan Umno selama ini. Mungkin Abdullah tak tahu, tapi itu semua di bawah dia.

Isunya, apakah dalam MT Umno dan Kabinet tiada suara yang berani menegur walaupun mereka mengetahui pengaruh Tingkat 4 boleh menjahanamkan BN?

Saya rasa tidak ada. Sebabnya orang beranggapan Tingkat 4 itu genius dan cerdik, lulusan Oxford, Cambridge dan Harvard. Seolah-olah merasakan wahyu datang daripada mereka.

Sepatutnya kena dengar di kampung, Kemas kata apa, polis kata apa, military kata apa, pegawai kerajaan kata apa. Kita kena dengar semua ini. Kita ada cukup ‘feedback’ agensi. Tapi kita tak nak dengar. Kalau semua orang kemukakan fakta yang benar tapi kita buat tindakan salah maknanya ada orang lain yang jadi penasihatnya.

Masing-masing fikir jawatan. Yang jadi menteri kena pertahankan kuasa. Ada masalah displin pun boleh jadi menteri. Kalau ada tokoh rasuah, dia tak berani nak bersuara malah dia akan maki-maki pula Mahathir. Di peringkat bahagian juga ada yang lawan sesama sendiri.

Mungkin ahli Umno menunggu untuk buat perubahan dalam pemilihan parti akhir tahun ini.

Saya rasa tidak akan ada perubahan dalam parti. Ketua-ketua bahagian memang dibawa bertemu. Ada yang kena ancam. Dalam kerajaan banyak kemudahan boleh dapat jika sokong orang di atas.

Silap-silap, pada perhimpunan nanti, tidak ada yang berani mengusulkan Pak Lah letak jawatan malah suruh kekal terus jadi Presiden Umno. Itulah yang membuatkan Mahathir terpaksa bertindak sebegitu rupa supaya sampai mesej perubahan.

Adakah mesej itu sampai di peringkat bawahan?

Inilah Harakah yang kena beritahu kepada semua, itu sebab Harakah kena tolong Umno (ketawa).

Adakah Tan Sri juga akan masuk kembali pada Umno setelah Abdullah letak jawatan?

Insya-Allah tetapi tidaklah automatik. Masuk kembali Umno kita kena minta. Saya tidak ada hak, itu terserah pimpinan baru. Dan saya tak mahu ajak keluar Umno, terpulanglah.

Tindakan keluar Umno boleh betulkan keadaan?

Kita tak boleh berubah kalau kita masih di situ, jadi kita keluarlah. Jadi bila orang tanya, kita jelaskanlah. Cuma kesempatan itu terbataslah. Harapkan Harakah dapat jelaskan (ketawa). Ini akhbar pertama ‘interview’ saya setelah keluar Umno.

Mengimbau keputusan pilihan raya 1999, mengapa Tan Sri berundur dari jawatan Menteri Besar sedangkan Umno masih menang dua pertiga di Kedah?

Jadi menteri atau menteri besar bukan payah sangat, Kalau Perdana Menteri nak saya jadi menteri, jadilah. Kita pakai ‘bush jaket’ yang baru. oklah. Kita ada ‘civil service’ yang bagus malah terbaik di dunia.

Sekarang imej Melayu cukup busuk. Jadi hakim pun, hakim tak berguna, perempuan kita macam Suffiah, terpelajar tapi jadi pelacur. Jadi menteri pun dikatakan rasuah.

Keputusan di Kedah ketika itu tidaklah seburuk mana tetapi Parlimen Umno kalah banyak. Adalah tidak adil saya tunggu, jadi saya letak jawatan. Lebih baik serah pada orang lain. Orang yang dah melalui kekalahan walaupun tidak seteruk sekarang lebih baiklah berundur, selayaknya dia berhenti. Jadi ikutlah cara saya.

Sekarang mana ada isu mata lebam Anwar lagi, tetapi kerana perpecahan di kalangan orang India serta Hindraf, perpecahan orang Cina terhadap MCA, di Pulau Pinang isu Patrick Lim, juga merebak perasaan marah kakitangan awam orang terhadap penyapu di Selangor. Yang menyeluruh ialah faktor orang meluat pada Tingkat 4. Campur ini semua kita kalah.

Saya juga nampak ada kecenderungan Abdullah untuk menunjukkan kepada pihak luar bahawa kita berubah.

Sedangkan PAS tidak pernah berubah, dari dulu sampai sekarang. Hanya yang berubah ialah pemimpin dan ‘style’ pemimpinnya saja. PAS masih berpandukan pada al-Quran dan Hadis itu jugalah, tidak berubah. Dulu pun Mat Sabu itu juga, sekarang Mat Sabu itu juga. Dan PAS menang sebab Umno dah berubah. Bukan saja pemimpinnya berubah, Umno juga turut berubah.

Tunku Abdul Rahman, bila orang tak mahu padanya, dia berhenti. Dato’ Onn tahu orang tak mahu dia, dia berhenti. Seluruh lima buah negeri dan Wilayah Persekutauan dan Negeri Sembilan hampir kalah dan di Johor ada undi rosak 322,000. Adakah ini masih tidak ada signal lagi?

Mungkin pengundi bukan Melayu berubah kepada BN balik nanti?

Undi India mungkin berubah tapi bergantung pula sikap kerajaan Pakatan Rakyat. Cina lebih terkesan dengan faktor kepimpinan Umno dan sensitif kepada ekonomi. Umpamanya dalam isu koridor, semua ada cerita pertanian. Bila saya tanya para pegawai pun tak tahu. EPU pun tak tahu.

Kita hilang Batu Putih sedangkan Wilayah Pembangunan Iskandar lebih teruk daripada itu. Kita dengan Singapura sudah banyak kali kalah, misalnya isu Jambatan Bengkok, air, WPI dan Batu Putih.

Tujuan bina jambatan supaya kapal kita boleh lalu ke Laut Cina Selatan tanpa melalui pelabuhan Singapura. Ada orang kata bila Abdullah tak ada nanti, kita boleh buat jambatan itu. Tak mungkin. Sebab syarikat keretapi laju nanti akan guna causeway dan akan tambak lagi. Takkan masa akan datang kita nak korek untuk buat jambatan. Kita tak tahu berapa lama jaminan tambak itu tak boleh dikorek.

Tan Sri sebut Dato’ Seri Anwar Ibrahim bukan faktor utama lagi, tapi kini ramai bercakap tentang peluangnya untuk menjadi perdana menteri, misalnya melalui kes lompat parti.

Saya rasa Anwar akan relevan jika Abdullah masih ada di situ. Kalau Abdullah tak ada, barang kali peluang Anwar tiada. Maknanya, bukan Mahathir yang bantu Anwar seperti yang dikatakan akhbar NST. Jika Abdullah masih di situ, Anwar akan ambil alih pada 2013 dan dia akan capai ke situ.

Itu sebab mereka semua mahu Pak Lah. Anwar tak suruh Pak Lah berhenti. Tidak ada undi tak percaya dalam Parlimen. Memang mereka kata Pak Lah lemah tapi pembangkang tak suruh beliau berhenti.

Kalau dia tak berhenti, kita tak tahu berapa lagi orang yang tinggal dalam Umno. Mahahtir keluar, orang harap sesuatu akan berlaku. Mahathir keluar dan minta Abdullah berhenti untuk selamatkan Umno, bukan beri laluan kepada Anwar. Apa pun segalanya terbuka untuk pelbagai kemungkinan.

Jangan Abdullah fikir tak perlu bimbang terhadap Najib sebab Najib ada saingan Tan Sri Muhyidin Yasin. dengan Najib. Abdullah mungkin fikir tak perlu bimbang hal Anwar kerana masalahnya dengan Mahathir. Jangan andaikan Tengku Razaleigh pula Dr Mahathir tak boleh terima. Semua andaian kita kena jaga.

Tapi, akhirnya yang menentukan ialah Allah SWT. Orang yang mula-mula teringin nak jadi PM ialah Dato’ Onn tetapi tidak dalam ketentuan Allah, begitu juga yang lain-lain seperti Tun Ismail, Musa Hitam, Ghafar Baba, semua tidak berpeluang jadi PM. Malah Tunku pun tidak pernah terfikir untuk jadi PM sebelum dipelawa Tun Razak.

Mengenai Abdullah, saya tidak ada apa-apa hal peribadi dengannya. Walaupun Abdullah awan saya tetapi dalam hidup kita mesti pentingkan prinsip. Saya tengok orang Melayu banyak rosak sebab kita pentingkan kawan daripada menyokong prinsip.

Orang yang sedar ada kesilapan dalam Umno mesti cuba betulkan kesilapan itu. Abdullah memang nak lawan Mahathir, dia mahu berbeza dengan Mahathir. Kalau dulu Mahahtir tidak mahu jumpa ketua-ketua pelbagai agama, Abdullah mahu jumpa. Dulu Mahathir marahkan Australia, dia pula bercuti di sana. Dengan Amerika dia buat baik juga. Dia bagi award kepada pegawai kerajaan British di Malaya dulu. Mahathir buat jambatan, dia batalkan.

Apa pun perancangan kita, akhir kalimah semua ditentukan Allah. Saya mendoakan semoga semuanya selamat, bangsa melayu selamat, umat Islam dan tanahair kita selamat._

(HARAKAH)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: