AGENDA TERSEMBUNYI KOMPONEN BN?


~MataHatiJohor~ : Membaca komentar dari pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional terutamanya dari Datuk Joseph Pairin Kitingan yang semuanya menyatakan sokongan terhadap Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri membuatkan saya mempunyai prasangka buruk bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan keikhlasan parti komponen terhadap UMNO.

Pairin adalah seorang pemimpin yang pernah menikam BN dari belakang. Tentu ada sebabnya mengapa beliau bertindak demikian suatu masa dahulu.

Melihat isu semasa politik negara pada masa kini, saya seperti merasakan bahawa apa yang kononnya diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat begitu menarik minat parti-parti komponen dalam BN. Kemungkinan mereka tertarik adalah kerana merasakan perjuangan mereka terhadap isu yang kini diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat tidak mungkin berjaya sekiranya UMNO berada dalam kedudukan yang kukuh.

Mereka mungkin merasakan dalam keadaan UMNO sedang dipimpin oleh seorang ketua yang ternyata sangat lemah pada ketika ini akan membolehkan mereka mencapai matlamat demi kepentingan parti dan kaum yang mereka wakili.

Sebaliknya, sekiranya UMNO berjaya memulihkan semula kedudukannya khususnya apabila berlakunya perubahan pucuk pimpinan akan melenyapkan semula impian dan peluang mereka untuk melakukan perubahan terhadap apa yang dipanggil sebagai kontrak sosial yang rasanya mereka sendiri tidak senangi walaupun mereka kelihatannya bersatu di bawah BN.

Bekas Setiausaha Agung MCA, Teng Chew Peh baru-baru ini mengatakan bahawa beliau sangat malu kepada kaum Cina kerana tidak berjaya dalam perjuangan selama 20 tahun bersama BN untuk mendapatkan kelulusan terhadap permohonan tanah-tanah di kampung-kampung baru di Perak oleh masyarakat kaum Cina. Sebaliknya, Kerajaan Perak yang diketuai oleh boneka DAP hanya mengambil masa 2 minggu untuk meluluskan semua permohonan tanah tersebut.

Kesimpulannya, saya berpandangan ada kemungkinan pada waktu ini wujudnya suatu agenda tersembunyi di kalangan parti-parti komponen BN untuk memastikan UMNO terus dapat dilemahkan. Apabila UMNO benar-benar tenat dan sudah tidak berjaya untuk bangkit lagi barulah parti-parti komponen BN ini akan mengistiharkan sokongan mereka kepada perjuangan Pakatan Rakyat.

Parti seperti MCA, Gerakan dan MIC yang bertukar menyokong perjuangan Pakatan Rakyat akan mendapat tempat dalam ‘kerajaan baru’ pada ketika itu kerana jumlah ahli dan penyokong dari kaum masing-masing adalah besar.

Akhirnya UMNO akan tinggal keseorangan dan Barisan Nasional akan hanya tinggal sejarah. Inilah sebabnya mengapa semua parti komponen BN terus menyokong Abdullah walaupun mereka tahu dan sedar bahawa kepimpinan Abdullah dalam UMNO sendiri pun sedang dipertikaikan oleh ahli-ahlinya sendiri.

Hanya ada satu jalan bagi mengelakkan agenda tersembunyi ini benar-benar akan menjadi suatu kenyataan iaitu UMNO mestilah diperkuat dan diperkukuhkan segera iaitu dengan menukar kepimpinannya yang lemah yang mana kelemahan itu datangnya dari diri, keluarga dan kepimpinan Presiden UMNO itu sendiri.

…………………………………………………………………

BN sokong Abdullah – Semua pemimpin komponen berdiri teguh belakang Perdana Menteri

Oleh ARSHAD KHAN, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN,
LIAU PEI WEN dan MUZDALIFAH MUSTAPHA
KUALA LUMPUR 18 Jun – Para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) hari ini menyatakan sokongan padu terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan berjanji akan berdiri teguh di belakangnya jika terdapat usul mencabar kepimpinan beliau di Parlimen.

Mereka juga menyelar rancangan Parti Maju Sabah (SAPP) untuk mengemukakan atau menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah di Dewan Rakyat Isnin ini dengan menyifatkannya sebagai sesuatu yang terkeluar daripada landasan permuafakatan BN.

Malah, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menegaskan, tindakan Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengisytiharkan parti itu telah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Tindakan paling tepat perlu diambil terhadap SAPP iaitu memecatnya daripada BN,’’ kata Pengerusi BN Melaka itu ketika dihubungi Utusan Malaysia petang ini.

Ketua Menteri Melaka itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Teck Lee bahawa SAPP hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri dan dua ahli Parlimen parti itu akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah di Dewan Rakyat.

“Apa yang dilakukan itu amat tidak bermoral dan tidak beretika,” tegasnya.

BN yang menguasai 140 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat dianggotai 14 parti komponen termasuk SAPP. Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu BN gagal menguasai majoriti dua pertiga kerusi Parlimen.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Musa Aman pula melahirkan rasa kecewa dan terperanjat dengan kenyataan Presiden SAPP itu yang berbaur ugutan.

“Saya tidak pasti apakah motif sebenar SAPP mengambil tindakan sedemikian. Sebagai parti komponen BN, tindakan itu adalah perbuatan yang tidak wajar dilakukan berlandaskan semangat setiakawan yang diamalkan selama ini,” kata Musa dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu.

Presiden Parti Liberal Demoktratik (LDP), Datuk V.K. Liew pula berkata, keputusan SAPP itu lebih bersifat untuk kepentingan parti tersebut dan bukannya membela rakyat Sabah.

“Kita kesal dengan keputusan itu tetapi ia nampaknya lebih kepada kepentingan diri sendiri dan bukannya untuk rakyat Sabah. Langkah itu hanya sekadar bagi memenuhi agenda SAPP,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup menyifatkan tindakan Teck Lee dan SAPP sebagai tidak wajar sama sekali.

Katanya, Abdullah telah berusaha melakukan sesuatu untuk kepentingan rakyat Sabah malah sudah menyatakan secara terbuka proses peralihan kuasa kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ini amat mengecewakan, saya rasa macam mereka tidak faham apa yang sedang berlaku sekarang. Saya berpendapat tidak sesuai mereka memberi tekanan kepada Perdana Menteri kerana beliau sedar apa yang berlaku dan sudah kata akan menyerahkan kuasa.

“Selain itu, isu yang kita suarakan di Sabah agak kompleks dan ia mengambil masa untuk diselesaikan. Kami dalam PBRS juga ada yang tidak senang dengan isu yang dikemukakan tetapi masih yakin kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan untuk membaiki keadaan,” katanya.

Beliau memberitahu, meskipun PBRS menyuarakan beberapa isu seperti soal pendatang asing tanpa izin (PATI) dan tidak begitu senang dengan cara mengatasi masalah itu tetapi ia tidak sampai menyuarakan usul tidak percaya terhadap pucuk pimpinan.

MCA, parti terbesar kaum Cina di negara ini, pula mengumumkan parti itu akan berdiri teguh bersama Abdullah dan BN meskipun pucuk pimpinan SAPP menyatakan mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah.

Presidennya, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, rakyat amat memerlukan kestabilan dari segi politik dan ekonomi memandangkan mereka sekarang sedang berhadapan dengan masalah seperti tekanan inflasi, kenaikan harga barang dan minyak.

Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu menegaskan, parti itu akan terus setia bersama BN dan memberi sokongan kepada Perdana Menteri.

“Ini adalah kali pertama kita menghadapi keadaan di mana parti komponen tidak menyokong Perdana Menteri. MIC tidak akan membiarkan Perdana Menteri dijatuhkan kerana beliau dipilih oleh rakyat,’’ katanya.

Naib Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr. S. Vijayaratnam menyatakan tindakan SAPP itu merupakan satu perbuatan yang tidak boleh diterima dan ia sesuatu yang melampau.

“Kami merayu kepada SAPP agar membuat pertimbangan sewajarnya terhadap tindakan mereka,” katanya.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali percaya parti dari Sabah itu mungkin merasakan ia tidak akan relevan lagi jika tidak mengambil kesempatan daripada senario politik semasa negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pengumuman SAPP itu menunjukkan parti kecil dari Sabah itu – yang mempunyai sekadar dua orang ahli Parlimen – tidak beretika.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu mengulas: “Ini satu ugutan terhadap kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat.”

Dalam pada itu, Ahli Parlimen BN-Kalabakan yang banyak mengkritik kerajaan, Datuk Abdul Ghapur Salleh berkata, meskipun beliau juga lantang menyuarakan masalah rakyat Sabah, tetapi ia tidaklah sehingga membuat pengumuman yang membelakangkan semangat BN.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu, (UPKO), Datuk Wilfred Tangau pula menganggap tindakan SAPP itu adalah hak masing-masing untuk membuat keputusan tersendiri.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Karamunting yang juga pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Edmund Chong Ket Wah enggan mengulas lanjut atas alasan beliau tidak mengetahui apa yang akan dilakukan oleh SAPP.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dari Sarawak, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, tindakan SAPP itu boleh memecahbelahkan BN.

Jika mereka mempunyai masalah, katanya, perkara tersebut boleh diselesaikan secara rundingan dalam BN dan bukan dengan menghebahkannya kepada masyarakat umum.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr. James Masing memberitahu, beliau tidak bersetuju dengan tindakan SAPP dan Teck Lee itu kerana ia bukan cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: