Saya tidak tersepit – Muhyiddin

MUAR 13 Julai – Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) berkata, beliau tidak pernah berasa dirinya tersepit atau berada dalam dilema berikutan pelan peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, beliau tidak terjejas dengan tindakan ramai pemimpin UMNO yang mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Disember ini.

Malah, sebagai salah seorang pemimpin tertinggi parti, beliau juga tidak berasa tergugat dengan senario politik ketika ini, sebaliknya percaya beliau perlu terus bersuara untuk menyampaikan luahan rakyat selagi diperlukan.

Mengenai kedudukannya dalam parti, Muhyiddin berkata, beliau masih belum memutuskan sama ada untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden yang disandangnya sejak tiga penggal lalu kerana beliau masih mempunyai tempoh untuk memikirkan hal itu semasak-masaknya.

Apa yang penting, kata beliau, jawatannya dalam parti bukan untuk kepentingan diri, sebaliknya untuk ahli-ahli parti kerana ahli-ahli UMNO mengharapkan pemimpin yang boleh bersuara.

“Apa yang saya suarakan selama ini adalah untuk UMNO dan bukannya untuk kepentingan diri sendiri. Saya tidak memaksa orang untuk memilih atau mencalonkan saya tetapi jika rakyat mahu saya terus bersuara, saya akan terus berbuat demikian demi kepentingan negara dan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Tahunan Serentak UMNO cawangan-cawangan dalam Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar Pagoh dekat sini hari ini.

Muhyiddin menambah: “Saya juga tidak pernah berada dalam dilema atau tertekan dalam soal perebutan jawatan dalam parti. Bagi saya, jawatan atau kedudukan itu tidak penting, namun selaku pemimpin dalam UMNO saya akan terus bersuara bagi meluahkan apa yang dimahukan oleh rakyat demi kepentingan orang Melayu.”

Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris kelmarin yang menyebut beliau merupakan pemimpin yang kini berada dalam dilema apabila Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa kepada Najib pada Jun 2010.

Selain itu, keputusan pucuk pimpinan parti agar jawatan nombor satu dan dua dalam parti itu tidak dicabar menyebabkan Muhyiddin tidak dapat bertanding ke jawatan yang lebih tinggi.

Pada masa yang sama, pengumuman sembilan pemimpin UMNO untuk bertanding jawatan Naib Presiden parti termasuk yang terbaru semalam yang dibuat oleh ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga dilihat seolah-olah mengecilkan peluang Muhyiddin untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, pelan peralihan kuasa yang diumumkan Perdana Menteri merupakan langkah yang sesuai bagi beliau (Abdullah) menangani situasi politik dalaman dan luaran termasuk masalah-masalah rakyat sebelum menyerahkannya kepada timbalannya.

Katanya, orang melihat pelan peralihan kuasa itu daripada pelbagai tafsiran berbeza. “Ada yang kata bagus dan ada juga yang kata terlalu lama,” ujar beliau.

Bagi dirinya, kata beliau, tempoh itu memang agak panjang kerana dalam masa dua tahun persoalan timbul adakah keadaan politik dan ekonomi akan menjadi pulih atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, Perdana Menteri juga memerlukan masa untuk memulihkan keyakinan rakyat sebelum beliau menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya (Najib). Kita tidak mahu semasa Abdullah menyerahkan jawatannya itu, pelbagai masalah timbul akibat politik yang masih tidak stabil.

“Apa yang penting ialah dalam tempoh dua tahun itu, apakah pengisiannya dan bagaimana Perdana Menteri dapat memberikan tugas-tugas yang penting kepada timbalan beliau untuk dilaksanakan dengan sebaik mungkin oleh penggantinya,” jelasnya.

Muhyiddin pada masa yang sama turut mengulangi pendiriannya bahawa gesaan supaya berlaku peralihan kuasa itu yang dicadangkan oleh beliau sendiri suatu ketika dahulu bukannya untuk kepentingan mana-mana pihak, tetapi demi parti dan ahli-ahli UMNO.

~MataHatiJohor~ : UMNO terpaksa menerima Ku Li sebagai Presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden. Maka akan berakhirkah riwayat politik Datuk Seri Najib lantaran politik play safenya ?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: